Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 28, 2015

[KUANTAN] JANGAN LUNTUR SEMANGAT PATRIOTIK


Jangan luntur semangat patriotik


Generasi muda perlu menghayati sejarah serta perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan dahulu sebagai pedoman kehidupan akan datang.

Penyelaras Seminar Tokoh Sejarah Pahang, Abdul Mutalib Awang berkata, remaja kini kurang penghayatan terhadap sejarah menjadikan mereka bukan sahaja cetek sejarah tetapi tidak mengetahui apa hak-hak mereka.

Menurutnya, keengganan mengetahui sejarah atau perjalanan masyarakat terdahulu menyebabkan generasi muda sekarang ini mudah terpengaruh dengan anasir tidak baik.

“Sejarah adalah satu cerita yang membawa kita mengenal asal usul, sekali gus menjadikan kita semua sedar siapa kita dan apa hak-hak kita di muka bumi ini.

“Menjadi pejuang sejarah bukan mudah kerana apa yang kita mula lihat hari ini lebih kepada pemberontakan yang membawa kesan negatif,” katanya.

Melalui seminar yang diadakan ini, golongan muda sekitar daerah ini diberi pendedahan mengenai sejarah Imam Perang Indera Mahkota yang berjasa semasa perang saudara di Raub dan Perang Selangor.

Semasa pemerintahan Inggeris, Imam Perang Indera Mahkota atau nama sebenarnya Abdul Halim @Che Endut Jaafar merupakan orang besar Raja-Raja yang banyak berjasa kepada kepimpinan negeri ini.

“Melalui majlis ilmu seumpama ini, kita hanya memberitahu mereka (pelajar) perihal sejarah. Selepas itu terpulang kepada mereka untuk membuat kajian sendiri dengan menganalisis tokoh-tokoh yang mereka baru kenali ini.

“Secara tidak langsung, ia dapat menjadikan rasa ingin tahu dan semangat patriotik di dalam diri mereka tercetus dengan sendirinya,” katanya sempena Majlis Seminar Sejarah Pahang di Wisma Belia di sini.

Hadir merasmikan Majlis, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Mohd Sharkar berkata, setiap individu lebih-lebih lagi golongan muda untuk mengkaji sejarah yang menceritakan perihal latar belakang mereka dahulu.

“Program ini tidak hanya dilaksanakan pada bulan kemerdekaan semata-mata, malah aktiviti secara berterusan membolehkan mereka belajar dan terus belajar.

“Walau bagaimanapun, ini adalah satu permulaan yang terbaik, saya harap mereka akan terus belajar sejarah lebih mendalam dan terperinci daripada buku teks di sekolah,” katanya.

0 comments:

share2