Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 3, 2015

TIDAK TIMBUL SPRM TERIMA ARAHAN PIHAK ATASAN


Abu Zahar Ujang


Kuala Lumpur - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa bertindak terhadap aduan diterima dan tidak timbul soal agensi itu menerima arahan daripada kerajaan atau pihak 'atasan' ketika menjalankan siasatan dan bersikap selektif dalam menyiasat kes-kes berprofil tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, JKMR yang merupakan antara badan bebas memantau perjalanan SPRM, melihat kesungguhan agensi itu dalam mempertingkatkan usaha membanteras rasuah, yang dipamerkan melalui kesungguhan dan kegigihan pimpinan dan anggota SPRM.

Beliau berkata SPRM mengambil tindakan ke atas setiap maklumat dan aduan diterima, dan menyiasat setiap maklumat dan aduan yang mempunyai unsur rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

"Terdapat segelintir pihak masih mempertikaikan prestasi SPRM...JKMR perlu mengakui bahawa SPRM telah memperlihatkan keberkesanan daripada beberapa segi selepas SPRM dibentuk pada 2009 berbanding ketika era Badan Pencegah Rasuah.

"Ini termasuk peningkatan jumlah kes diselesaikan dalam tahun yang sama sebaik menerima aduan dan sabitan kes. Perangkaan ini boleh didapati dalam Laporan Tahunan SPRM dan Laporan Tahunan JKMR yang diedarkan kepada anggota-anggota Parlimen," katanya dalam kenyataan Khamis.

Abu Zahar yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata JKMR berpandangan adalah tidak wajar menimbulkan isu 'ikan kecil dan jerung' bagi menggambarkan kononnya SPRM tidak telus kerana anggota masyarakat dan negara berhadapan risiko kemudaratan akibat perlakuan rasuah.

"JKMR sedang merancang untuk mengadakan pertemuan dengan anggota Parlimen bagi mencari jalan terbaik demi mengukuhkan institusi agensi pencegahan rasuah.

"JKMR dianggotai anggota-anggota Parlimen daripada semua parti utama terdiri daripada BN, PKR, Pas dan DAP," katanya.

Abu Zahar berkata, semua pihak termasuk ahli politik perlu memahami tentang prosedur kerja SPRM yang mana ia tidak boleh didedahkan kepada umum demi menjaga kerahsiaan kerja siasatan.

"JKMR berpendapat bahawa salah satu cabaran utama dalam memerangi rasuah di negara ini adalah berkaitan masalah persepsi yang selalunya tidak mempunyai realiti sebenar," katanya.

0 comments:

share2