Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 3, 2015

SEMPAT AJAR ANAK MENGUCAP


Sempat ajar anak mengucap


Tumpat – Seorang ibu sempat pangku dan mengajar anaknya mengucap dua kalimah syahadah sebelum meninggal dunia dalam nahas tiga kenderaan di Kampung Geting, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10.30 malam di Kilometer 24 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor, Wan Hassan Wan Ja’far, 21, meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan pacuan empat roda.

Rakannya, Mohamad Asri Che Su, 17, yang menunggang motosikal berasingan jenis Honda C70 cedera parah dan dirawat di Hospital Tumpat.

Pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bersama seorang penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dan rakannya tidak memakai topi keledar dan tiada lesen motosikal.

Ibu mangsa, Saudasa @ Saodah Muhammad, 59, berkata, dia terus bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan anaknya terlibat kemalangan tidak jauh dari rumahnya di Kampung Ketil.

Menurutnya, sebaik sampai di lokasi dia melihat anaknya terbaring berhampiran motosikal dalam keadaan separuh sedar dengan darah berlumuran.

“Saya pangku kepalanya dan sempat mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah dan selepas itu saya pengsan,” katanya.

Menurutnya, dia sedar semula anaknya sudah dirawat di Hospital Tumpat tetapi disahkan meninggal dunia di wad kecemasan kira-kira jam 11 malam.

Soadah berkata, sebelum kejadian anaknya yang baharu selesai menunaikan solat tarawih dan meminta wang RM50 untuk membeli baju raya di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.

Jenazah mangsa disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Getting kira-kira jam 11 pagi semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mazuki Mat mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila pacuan empat roda dari arah Geting menghala ke Pengkalan Kubor membuat pusingan U di lokasi kemalangan tersebut.

“Ketika sedang membuat pusingan U, mangsa bersama rakannya menunggang motosikal berasingan yang dari arah Chabang Tiga Neting ke Pengkalan Kubor berlanggar dengan pacuan empat roda tersebut,” katanya.

0 comments:

share2