Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 10, 2015

(ROMPIN) SALAH GUNA RUMAH PPRT

Salah guna rumah PPRT



Individu yang dipilih menerima rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diminta supaya tidak menyalahgunakan rumah tersebut seperti menyewakannya kepada individu lain kerana ia merupakan sikap tidak bertanggungjawab.

Adun Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain, berkata, beliau sendiri telah mengesan beberapa peserta PPRT di sekitar Kuala Rompin yang berbuat demikian dan meminta supaya jabatan kerajaan berkaitan menjalankan siasatan.

“Saya telah menerima aduan ada peserta PPRT yang menyewakan rumah yang diterimanya itu kepada individu lain sekali gus menyalahgunakan rumah bantuan tersebut.

“Rumah PPRT ialah rumah yang diberikan kepada individu atau keluarga yang layak kerana kemiskinan hidup yang dialami dan tinggal di rumah yang daif atau tidak mempunyai rumah. Namun begitu proses kelulusan melalui syarat yang ketat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada lawatannya di Kampung Setajam, Mukim Endau bagi memantau perkembangan projek kemudahan awam di kampung tersebut selain beramah mesra dengan penduduk setempat yang turut melibatkan jabatan kerajaan berkaitan.

Menurut Johari, bagi mengelak perkara seperti itu terjadi, jabatan kerajaan berkaitan telah meminta supaya peserta meruntuhkan rumah yang didiaminya selepas rumah PPRT siap dibina namun ada pula yang enggan berbuat demikian.

“Apabila rumah lama tidak dirobohkan, ada pula peserta mengambil kesempatan menyewakan rumah bantuan untuk mendapatkan pendapatan.

“Saya juga cadangkan kepada jabatan kerajaan supaya dibuat perjanjian dengan peserta sebelum membina rumah PPRT agar mereka meruntuhkan rumah lama sebelum mendiami rumah PPRT yang telah siap dibina. Kita mahu orang yang benar-benar memerlukan menerima rumah PPRT itu,” katanya.



0 comments:

share2