“Saya memerlukan penderma buah pinggang memandangkan kedua-dua buah pinggang saya sudah rosak dan terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu,” demikian luahan Erni Munirah Abdul Razak, 35, yang mengidap sakit buah pinggang kronik sejak empat tahun lalu.
Menurutnya, dia terpaksa ulang-alik menjalani rawatan dialisis swasta dengan kos rawatan lebih RM1,000 sebulan.
“Walaupun terpaksa menanggung kos rawatan yang tinggi namun saya dan suami, Azmay Mohd Ghazali, 47, tiada pilihan selain meneruskan rawatan.
“Dengan pendapatan suami yang tidak menentu, ada kalanya kami terpaksa meminjam duit daripada adik-beradik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa anjuran Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Negeri Pahang (BAKKISS), di sini.
Hadir sama, Yang Dipertua Bakkiss, Wan Azlan Wan Salleh.
Erni Munirah berkata, ekoran penyakit yang dialaminya, anak sulungnya meninggal dunia selepas seminggu dilahirkan pada tahun 2012.
Katanya, doktor menasihatkan dia agar tidak mengandung kerana penyakit buah pinggang kronik yang dialami menyebabkan kandungannya berisiko.
“Saya reda dengan keadaan diri saya dan suaminya juga memahami masalah kesihatan yang saya hadapi.
“Saya bersyukur kerana suami banyak berkorban untuk memastikan saya dapat menjalani rawatan pada setiap seminggu walaupun kami kesempitan wang,” katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
Bagi Azmay, dia sanggup buat apa sahaja untuk isteri tersayang malah sudi menderma buah pinggangnya namun selepas pemeriksaan dilakukan mendapati buah pinggangnya tidak sesuai.
“Kalau sesuai, saya memang akan dermakan pada isteri saya,” katanya yang bekerja sambilan sebagai jurulatih petanque.
Sementara itu, Wan Azlan berkata, pada majlis itu, seramai 60 penerima terdiri daripada anak yatim dan miskin menerima sumbangan hari raya.
“Tidak terkecuali pesakit kronik, Erni Munirah dan mangsa kebakaran di Cerating, Salmah Ismail turut menerima bantuan.
“Kita berharap mereka semua tabah menjalani dugaan dan menyambut hari raya dengan ceria,” katanya.
0 comments:
Post a Comment