Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 16, 2015

NAJIB TERIMA KUNJUNGAN ALUMNI AL-AZHAR MALAYSIA


Najib Tun Razak


Putrajaya - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia di Perdana Putra, di sini.

Pertemuan selama setengah jam itu disertai oleh tujuh orang alumni Universiti al-Azhar, Mesir yang diketuai presidennya Datuk Dr Mohd Fakaruddin Abdul Mukti.

Mohd Fakaruddin memaklumkan pertemuan itu antara lain membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan hubungan keilmuan dan dakwah Islamiyyah serta peranan institusi pengajian Islam ulung itu sebagai pencetus dan peneraju gerakan wasatiyyah atau kesederhanaan. 

Katanya Alumni al-Azhar turut menyeru rakyat Malaysia untuk memberi sokongan kepada barisan kepimpinan negara supaya terus stabil dan mantap.

"Islam tetap meraikan maslahah ummah dan negara serta meletakkan kepimpinan satu amanah tertinggi di mana gangguan kepada saf kepimpinan tanpa norma, etika, semangat ukhwah dan adab musyawarah (perundingan) boleh membawa perpecahan dan mengundang ketidakstabilan yang merugikan semua pihak.

"Islam bukan sahaja melarang kecelaruan dan perpecahan bahkan turut melarang mengadakan atau membiarkan sebab-sebab yang akan membawa kepada musibah tersebut," kata Mohd Fakaruddin kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Mohd Fakaruddin berkata dalam pertemuan dengan Najib itu, mereka turut menekankan pentingnya memperkasakan hubungan Malaysia dengan Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 975 masihi.

Menurutnya Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia turut mencadangkan supaya satu konvensyen alumni al-Azhar dianjurkan di seluruh negara bagi menyatu-padukan tenaga mereka supaya konsep wasatiyyah akan terus dinobatkan sebagai pegangan perdana umat Islam di negara ini.

Katanya persatuan itu juga mencadangkan agar kerajaan membina asrama dalam kampus al-Azhar bagi mengelakkan pelajar Malaysia daripada mengalami masalah penempatan atau ancaman keselamatan.

"Kami juga mencadangkan agar Perdana Menteri membuat lawatan atau menghantar wakil ke Mesir memandangkan terdapat banyak kepentingan Malaysia dengan Mesir selain terdapat lebih 10,000 pelajar kita di sana," katanya.

Kini terdapat lebih 5,000 pelajar Malaysia dalam pelbagai bidang pengajian Islam di universiti itu manakala 6,000 pelajar lagi dalam bidang perubatan.

0 comments:

share2