Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 1, 2015

KUANTAN : RAGUI AKTIVITI LOMBONG BAUKSIT

Ragui aktiviti lombong bauksit



Penduduk di Taman Sungai Karang Jaya meminta kerajaan negeri dan agensi berkaitan menyiasat kawasan perlombongan bauksit berhampiran perumahan berkenaan yang didakwa dilombong secara haram.

Perbuatan itu dikatakan bermula awal Februari lalu mengundang seribu satu keraguan dalam kalangan penduduk berikutan tiada papan tanda dinaikkan.

Penduduk, Fikri Jefri, berkata ketiadaan papan tanda di kawasan berkenaan menyebabkan ramai penduduk mendakwa kerja-kerja perlombongan bahan mineral itu dilakukan secara haram.

“Kalau ia secara sah semestinya papan tanda yang tertera nama syarikat dan nombor permit dinaikkan di atas papan tanda di kawasan utama perlombongan itu. Namun di kawasan perlombongan berkenaan saya tidak nampak sebarang pemberitahuan berkenaan.

“Ini menimbulkan keraguan dalam kalangan kami penduduk di kawasan ini dan mendorong saya membuat aduan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) supaya masalah ini dapat diselesaikan segera.

“Namun malangnya agensi itu memberi sebarang respons sedangkan perkara sedemikian perlu ditangani segara,” katanya.

Selain itu, aduan turut dibuat kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) berkaitan jalan berlubang dan rosak akibat daripada kerja-kerja pemunggahan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, MPK memberi maklum balas meminta agar aduan itu dilakukan kepada PTG yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah berkenaan.

“Saya tidak faham dengan situasi yang berlaku sekarang, MPK sepatutnya segera bertindak sebaik sahaja menerima aduan kerana ia (jalan rosak) merupakan bidang kuasa mereka.

“Sebaliknya agensi itu meminta agar PTG menyelesaikan perkara berkenaan dan keadaan ini seolah-olah MPK melepaskan tanggungjawab mereka kepada agensi lain dan saya amat kecewa dengan sikap seumpama ini,” katanya.

Tambahnya, akibat daripada perlombongan berkenaan pencemaran udara berlaku di kawasan perumahan itu.

“Saya turut mengalami penyakit kulit, batuk dan kemungkinan boleh menghidap penyakit asma akibat daripada perlombongan ini,” katanya.

Fikri menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung perkara ini terutamanya agensi berkaitan yang gagal memainkan peranan mereka sebaiknya.

“Saya yakin isu bauksit ini dapat diselesaikan sekiranya semua pihak memainkan peranan mereka sebaiknya.

“Apabila penguatkuasaan diperketat masalah berkaitan dapat diatasi dan semua rakyat dapat hidup harmoni,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Aina Arifah Mohd Hadi, turut meminta agar pihak berkaitan menyiasat status perlombongan di kawasan perumahan ini.

“Kita sudah membuat aduan kepada PTG dan berharap pihak berkenaan menyiasat perkara berkenaan memandangkan itu merupakan bidang tugas mereka.

“Jika benar pengusaha berkaitan melombong tanpa permit yang sah, kerajaan perlu mengenakan tindakan undang-undang kepada mereka,” katanya.

Aina Arifah turut meminta pengusaha bauksit yang mempunyai permit sah menutup lombong mereka memandangkan kawasan itu berdekatan dengan kawasan perumahan.

“Kami terpaksa hidu habuk dan boleh mengundang kepada masalah kesihatan.

Justeru saya mohon jasa baik pengusaha melakukan sesuatu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aina Arifah meminta pihak bertanggungjawab lebih tegas dalam menangani perkara ini.



0 comments:

share2