Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 1, 2015

DS NAJIB SAKSI PERJANJIAN LEBUHRAYA PAN BORNEO SARAWAK

Najib saksi  pemeteraian perjanjian Lebuhraya Pan Borneo Sarawak



PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak dan Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd hari ini memeterai perjanjian pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sepanjang 1,090 kilometer di Sarawak.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, menerusi perjanjian itu, pembinaan fasa satu lebuh raya berkenaan akan dimulakan seawal September ini.

Ia meliputi jarak sepanjang 33 kilometer dari Telok Melano ke Sematan.

Pakej itu yang melibatkan pembinaan jajaran baharu satu lorong dua hala bagi menghubungkan pekan-pekan kecil yang ketika ini hanya boleh dihubungkan melalui jalan laut.

"Kos pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sejauh 1,090km akan dimuktamadkan selepas kajian akhir dan reka bentuk siap sepenuhnya," katanya sambil menambah pelantikan kontraktor akan dibuat melalui proses tender.

"Lebuhraya ini tidak akan dikenakan tol kerana ia adalah laluan utama untuk menghubungi seluruh Sarawak. Tol akan dikenakan sekiranya terdapat jalan alternatif," kata Fadillah.

Beliau ditemui selepas majlis memeterai perjanjian pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di Putrajaya yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengerusi Lebuhraya Borneo Utara, Tan Sri Abang Ahmad Urai Hakim Abang Mohideen.

Turut hadir menyaksikan majlis menandantangani perjanjian ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Sementara itu, Adenan menyambut baik pembinaan lebuhraya itu menyifatkannya sebagai sesuatu yang ditunggu-ditunggu rakyat Sarawak.

"Ia pastinya akan mempergiatkan aktiviti ekonomi dan pembangunan di negeri Sarawak. Apa yang Lebuhraya Utara Selatan di Semenanjung boleh buat adalah sama kesan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo kepada penduduk di Sarawak dan Sabah," kata beliau.

Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang merupakan sebahagian daripada Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer akan menjadi penghubung bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak.

Kos keseluruhan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo RM27 bilion dan dijangka siap pada tahun 2020.



0 comments:

share2