Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 7, 2015

DAKWAAN WSJ KONSPIRASI JATUHKAN KERAJAAN

Wall Street Journal


BALIK PULAU - Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) menyifatkan dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan konspirasi antarabangsa untuk menjatuhkan kerajaan.

Ketua Pengarah Jasa, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, selepas penangkapan warga Switzerland yang juga bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo bulan lepas, maka terdedah bahawa ada pihak yang melakukan pemalsuan dokumen untuk menfitnah kerajaan.

"Selama ini kita hanya melihat konspirasi untuk menjatuhkan kepimpinan negara ini melalui 'orang dalam' semata-mata tetapi dengan apa yang dilakukan WSJ ini jelas negara kini turut berhadapan dengan serangan daripada luar.

"Saya berharap Perdana Menteri dapat segerakan tindakan saman terhadap WSJ yang sengaja mahu memfitnah dan memburukkan nama baik beliau dan negara," katanya kepada pemberita sebelum Program Jasa Prihatin peringkat Pulau Pinang di Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib semalam bahawa beliau akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan diambil berhubung tuduhan kononnya kira-kira US$700 juta (RM2.6 bilion) daripada dana 1MDB telah disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

Mohd Puad yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata tindakan saman itu harus disegerakan kerana dakwaan itu bukan sahaja membawa kesan kepada kepimpinan Perdana Menteri tetapi juga kestabilan dan keselamatan negara.

Beliau turut mengesa ahli Umno supaya bersatu mempertahankan Perdana Menteri dan yakin Najib mampu menerajui cabaran itu dengan sokongan ahli Umno dan keyakinan rakyat.

"Kenyataan (penafian) yang dibuat oleh Perdana Menteri berhubung perkara ini adalah jelas dan dakwaan WSJ langsung tidak berasas," katanya.

Jumaat lepas, WSJ menyiarkan laporan dengan mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.

1MDB pula juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Najib. - Bernama



0 comments:

share2