BATU PAHAT - Pimpinan parti pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan Pas mengharapkan adanya tindakan sewajarnya kepada individu terlibat dalam memulakan kekecohan di program DAP di Pasir Gudang, kelmarin.
Dalam insiden berkenaan difahamkan 50 individu terlibat, di mana mereka turut cuba menyerang dua pemimpin pembangkang iaitu Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dan mereka yang menghadiri program santai anjuran DAP itu.
Setiausaha PKR Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, tindakan itu melanggar undang-undang negara dan mengganggu kebebasan bersuara, dan seharusnya pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut berkaitan kejadian yang berlaku.
Katanya, siasatan segera perlu dilakukan supaya orang ramai tidak ragu terhadap pasukan keselamatan negara.
“Bagaimanapun kami pihak pimpinan pembangkang mengucapkan terima kasih kepada pasukan polis yang bertugas ketika itu, kerana dapat mengawal keadaan daripada menjadi lebih teruk.
“Cuma yang kami kesal kehadiran anggota bertugas tidak ramai, ia bukan sahaja mampu mendatangkan bahaya kepada pemimpin (wakil rakyat) yang ada tetapi kepada anggota polis yang bertugas juga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media, di Pejabat DAP Batu Pahat, semalam.
Sementara itu, Adun Penggaram, Gan Peck Cheng berkata, pihaknya mengharapkan siasatan dapat dilakukan seadilnya dan mereka yang terlibat dalam kekecohan ini dikenakan tindakan undang-undang.
Katanya, program santai itu tidak memberikan sebarang ancaman kepada orang ramai, selain mendapat kebenaran daripada pemilik kedai makan berkenaan.
“Saya dan pimpinan DAP tidak faham sebab mereka menyerbu seterusnya melakukan kekecohan.
"Saya harap siasatan serta tindakan dapat dilakukan kepada mereka yang terlibat agar tidak akan berlaku lagi di masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Adun Parit Ya’ani, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan berkenaan tidak melambangkan budaya orang timur yang dikenali dengan sopan santun.
Katanya, daripada insiden berkenaan pihak berkuasa perlu meneliti dan memberikan perlindungan sewajarnya kepada wakil rakyat, sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang.
“Sikap seperti ini sepatutnya dapat dielak memandangkan kita sedang menuju menjadi negara maju dan seharusnya penduduknya perlu mempunyai pemikiran matang, bukan seperti kelas ketiga.
“Daripada insiden berkenaan sedikit sebanyak telah mencemar dan menjejaskan imej Johor yang aman selama ini, juga dikhuatiri usaha untuk menjadikan Johor lebih maju terbantut kerana pelabur lari akibat bimbang dengan situasi yang berlaku,” katanya.
Ketiga-tiga pemimpin berkenaan juga berharap agar Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dapat memohon maaf secara terbuka, kerana kejadian berkenaan berlaku di dalam kawasannya.
0 comments:
Post a Comment