KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tuduhan segelintir pihak terhadap bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai dalang isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak adil.
Katanya, tidak timbul langsung keadaan di mana ayahnya terlibat dalam menyeleweng, menukar e-mel atau sebagainya.
“Yang terbaharu pula, ayahanda dikatakan terlibat dengan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo yang ditahan pihak berkuasa Thailand kerana terlibat dalam penukaran dokumen mengenai 1MDB. Itu semua dakwaan tidak adil dan tidak benar.
“Kalau ada mana-mana pihak merasakan tidak adil membuat dakwaan tidak berasas kepada pucuk pimpinan parti, samalah situasinya adalah tidak adil buat dakwaan kepada Tun seperti itu,” katanya di Majlis Berbuka Puasa di sini, kelmarin.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau percaya Dr Mahathir bersekongkol dengan warga asing dan serangan politik oleh blog Sarawak Report di sebalik pembohongan terbaru itu.
Mukhriz berkata, beliau tersepit antara dua tokoh besar negara, seorang pemimpin negara dan bapanya sendiri.
Katanya,tindakan ayahnya lantang mengkritik Najib bukan untuk melemahkan Umno atau BN.
“Saya percaya apa yang dilakukan ayahanda adalah untuk menguatkan lagi parti. Mungkin orang lain tidak percaya. Ada yang mengatakan ‘buat apa la orang tu bercakap lagi’, ‘dah bersara 15 tahun dah’, ‘umur pun dah mencecah 90 tahun. Baik tak payah cakap sebab akan jejaskan imej parti.
“Tetapi hakikatnya, soal kebenaran dan apa yang menyatukan kita sebagai sebuah parti, itu yang membuatkan ayahanda Tun mengeluarkan kenyataan sebegitu.
“Itu adalah hasratnya. Saya bukan mahu membela, tetapi itu keadaan sebenar,” katanya.
“Kita dituntut bersatu, tapi bersatu dengan niat baik. Jadi jika perlu ada satu prinsip, satu ideologi, satu fahaman yang satukan, tak payah suruh pun kita akan bersetuju.
“Ini satu perkara yang perlu difikirkan adakah kita bersatu kerana kebenaran ataupun kerana kebatilan, tentunya kita mahu tonjolkan kepada rakyat parti ini (Umno) berdiri tegak dengan kebenaran maka itu kita bersatu,” katanya
Beliau harap apa pun kemelut yang dihadapi sekarang akan dapat selesai.
“Jika tidak dengan sendirinya mungkin dengan cara yang proaktif dari kita sendiri dan cara yang terbaik yang tidak membawa mudarat pada kita semua.
“Kita tidak mahu seperti yang berlaku di negara lain. Bila kemelut atau polemik tidak ditangani dengan bijaksana, maka akhirnya satu negara akan hancur,” katanya.
0 comments:
Post a Comment