Kuala Lumpur - Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bertitah Raja-raja Melayu tidak berpihak kepada anutan dan fahaman politik kepartian dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan negara.
Baginda bertitah bahawa Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri adalah bersifat berkecuali dalam kedua-dua urusan itu.
Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri hanya ingin memelihara kepentingan rakyat secara adil dan terhormat dan tidak berasaskan kepada musim-musim pilihan raya.
“Beta mengimbas kembali pada kesempatan ini beberapa perkara untuk kita renungi. Pertama, beta melafazkan persetujuan dengan apa disarankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong beberapa hari yang lalu agar semua rakyat mengamalkan politik yang tidak berlebihan.
“Amalan bersederhana dalam apa sahaja perkara wajarlah dijadikan pedoman sebab ia juga ajaran agama. Apapun jika dilakukan secara keterlaluan boleh bawa bencana,” titah baginda pada Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-238 pada 11 Jun semasa baginda mempengerusikan mesyuarat itu.
Perutusan baginda dikeluarkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia semalam kepada media rasmi.
Dalam perutusan itu, Sultan Pahang juga merujuk kepada titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim yang menggesa agar kerajaan Persekutuan berunding dan melibatkan kerajaan negeri dalam sebarang rundingan dengan negara-negara lain di mana hak dan kepentingan negeri disentuh.
“Kerjasama dan saling hormat-menghormati mewujudkan keharmonian pemerintahan di kedua-dua peringkat negara dan negeri bagi kebaikan dan kebajikan rakyat jua akhirnya,” titah baginda.
Sultan Ahmad Shah turut memetik titah ucapan Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Muizzuddin Shah yang menganjurkan agar peranan Majlis Raja-raja dimanfaatkan sebagai satu platform tunggal yang berkesan menemukan institusi Raja-raja dengan institusi rakyat tanpa mengira fahaman politik.
Sebagai contoh, Raja-raja bersidang dan Menteri Besar atau Ketua Menteri turut hadir sebagai penasihat rasmi kepada Raja-raja.
Sistem begini adalah unik dan wajar digunakan sebagai penampung kepada peranan dan tanggungjawab Dewan-Dewan Undangan Negeri dan Persekutuan, titah baginda.
0 comments:
Post a Comment