Tarikan banyak sarang lebah di atas pokok antara punca seorang penduduk Kampung Sungai Mun sesat di Hutan Kechau berdekatan Kampung Pagar Sasak, di sini tiga hari lalu.
Hamidun Kamaludin, 41, sesat di hutan berkenaan selama dua hari satu malam tanpa makanan dan menghadapi ancaman binatang buas ketika keluar mencari madu lebah bersama lima rakannya pada petang hari Rabu lalu.
Berikutan cuma lima rakannya keluar dari hutan pada petang Khamis tanpa Hamidun, operasi mencari dilakukan membabitkan penduduk Kampung Sungai Mun, Pagar Sasak, Orang Asli, termasuk anggota polis, bomba, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Operasi mencari mangsa bermula pada pagi Jumaat berikutan aduan seorang rakannya, Ahmad Safari Razali, 47, selepas keluar dari hutan berkenaan dan memberitahu mengenai kehilangan Hamidun.
Hamidun berkata, dia bersama rakannya masuk ke Hutan Kechau untuk mencari madu lebah pada jam 3 petang, Rabu lalu dengan menaiki bot Sungai Kechau di pengkalan Lubuk Beriang, Pagar Sasak.
“Pada sebelah malam (Rabu) kami bermalam di tepian Sungai Ralat dan hati saya mula tak tenteram sebab dah jauh masuk ke hutan, tetapi sarang lebah masih belum jumpa,” katanya ketika di temui di rumahnya di Sungai Mun, di sini, semalam.
Hadir sama menziarahi mangsa, Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Ketua Kampung Sungai Mun, Zulkarnain Jamaluddin.
Menurutnya, pada jam 10 pagi Khamis mereka menghilir Sungai Ralat dengan bot singgah di tebing lalu mula berpecah masuk ke hutan untuk mencari sarang (madu) lebah.
“Saya cuma tunggu di atas bot. Selepas beberapa jam tunggu, kawan tak muncul-muncul. Sebab itu saya ambil keputusan untuk cari mereka.
“Masa nak naik tebing sungai, saya ternampak banyak sarang lebah di batang pokok sampai buatkan saya teruja nak ambil madunya,” katanya.
Hamidun yang juga seorang duda berkata, oleh kerana tugas mengambil madu memerlukan bantuan ramai, dia memilih untuk mencari rakannya terlebih dahulu sehinggalah kehilangan arah dan mula sesat di hutan itu.
“Saya tidak boleh melelapkan mata sebab takut, lagi-lagi bila dengar bunyi sekumpulan gajah dan harimau bergerak cari makan berdekatan.
“Saya juga tak makan dan mampu baca ayat al-Quran. Saya pun dah mula risau bila teringatkan tiga anak di rumah,” katanya.
Hamidun yang kelihatan tidak bermaya kerana kelaparan ditemui seorang penduduk berdekatan Kampung Dada Kering dan dihantar pulang ke rumahnya pada jam 7.30 petang, Jumaat lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan mengesahkan polis ada menerima laporan mengenai kehilangan pencari madu lebah berkenaan dan bertindak atas laporan itu, anggota dari Balai Polis Padang Tengku dan Pagar Sasak bersama penduduk berusaha mencarinya pada Jumaat.
“Punca mangsa sesat kerana mereka berpecah dan tidak mengambil langkah persediaan awal ketika di hutan berkenaan termasuk keselamatan rakan.
“Kita juga menasihatkan sesiapa yang masuk ke hutan mencari madu lebah perlu memakai baju pantulan cahaya kerana memudahkan dikenali rakan dan usaha mencari oleh pihak berkuasa pada waktu malam,” katanya.
0 comments:
Post a Comment