Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 15, 2015

KUANTAN: KEGILAAN PENCINTA BARANG ANTIK


Kegilaan pencinta barang antik


Ada orang berpendapat, hobi mengumpul barang lama dan antik merupakan satu aktiviti yang mahal dan memerlukan kos tinggi.

Namun, jika ada minat yang mendalam, wang ringgit bukanlah segala-galanya kerana kepuasan memiliki barang-barang itu menjadi keutamaan pengumpulnya. 

Malah ada segelintir individu yang meminati hobi ini sejak kecil, kemudian ia dikembangkan sehingga dewasa.

Perkara tersebut dilalui sendiri Faizal Izwa Nawi apabila dia mula berjinak dalam aktiviti pengumpulan barangan lama ini sejak di bangku sekolah rendah dengan mengumpul syiling dan setem lama.

“Seingat saya, pada umur 12 tahun, saya mula kumpul setem lama setelah melihat pelbagai jenis, rupa dan bentuk setem.

“Pada mulanya saya kumpul setem dalam Malaysia sahaja. Setem tersebut diperoleh dari surat atau kad raya yang dikirim saudara mara dan sahabat handai.

“Tetapi apabila meningkat sekolah menengah, saya mula mencari dan mengumpul setem dari luar negara dengan membeli di kedai barangan lama dan kedai buku,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.


Buka kedai

Lelaki berusia 34 tahun ini memberitahu, bagi memastikan apa yang diinginkan tercapai, dia sanggup menggunakan wang saku yang disimpan bagi membeli setem tersebut.

“Pada waktu itu, saya tidak kisah asal dapat benda yang saya suka. Walaupun sebenarnya tidak tahu hendak menilai sesuatu barangan tersebut, namun saya peroleh kepuasan dalam diri," katanya.

Mendorong minat yang mendalam, Faizal yang bekerja sendiri mengembangkan minatnya itu dalam pengumpulan barangan lain selepas dia meningkat dewasa.

Katanya, ilmu itu dipelajari sedikit demi sedikit dan hal itu menyemarakkan lagi semangatnya mengumpul barang antik.

“Semua ini bermula apabila saya memahami nilai barangan antik dan rasa seronok melihat koleksi yang ada,” katanya.

Faizal kini memiliki hampir 1,000 koleksi peribadi antaranya kamera, medal, barang tembaga, kipas, radio, dokumen, duit lama, basikal, motosikal dan sebagainya.

Rentetan itu, Faizal juga ada membuka kedai menjual barangan lama yang terletak di Sungai Isap Damai, Kuantan bagi berkongsi hobi dan pengetahuan sesama pengumpul dan pencinta barangan antik.

“Bagi saya, ia terpulang kepada individu itu sama ada ingin menjadikan ia satu hobi peribadi atau satu bentuk perniagaan yang boleh menjana pendapatan sama ada sampingan atau sepenuh masa,” katanya.


Simpan untuk masa depan

Menurutnya, kini untuk mendapatkan koleksi antik bukannya sesuatu yang susah, dulu kita perlu banyak bertanya kepada kawan-kawan, saudara mara.

Kini, dengan perkembangan teknologi, pencarian boleh dibuat menerusi laman sesawang dan kelab berkaitan yang diwujudkan untuk jual beli dan perkongsian barang, ilmu dan idea.

Jelasnya, antara koleksi yang menjadi kesayangannya ialah lampu karbaid untuk kegunaan lombong Sungai Lembing kerana paling lama berada dalam simpanannya.

“Lampu ini juga saya tidak berhasrat untuk menjualnya kerana ia mempunyai nilai sentimental,” katanya.

Ditanya perancangannya untuk semua barang antik tersebut, Faizal berkata, dia akan menyimpan sebaik mungkin dan akan menyertai program atau forum anjuran mana-mana pihak berkaitan bagi melestarikan hobi ini.

“Saya harap semua barang antik ini dapat dipamerkan kepada umum untuk tontonan generasi akan datang.

“Sayang jika barang yang bernilai ini dibiarkan begitu saja,” katanya.

2 comments:

  • Unknown says:
    February 1, 2016 at 4:56 PM

    Ada sediakan perkhidmatan sewa barang antik tak?

  • Anonymous says:
    February 14, 2016 at 3:42 PM

    Ada puan. hubungi no 0196199045 untuk keterangan lanjut. Alamat kedai ni no B10 Jalan sg isap damai 7, perumahan sg isap fasa 3 kuantan

share2