Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 30, 2015

BERA : BIMBANG ANCAMAN LALAT

Bimbang ancaman lalat


Penduduk di daerah ini bimbang dengan ancaman lalat yang boleh menjejaskan kesihatan mereka, selain menjejaskan sumber pendapatan bagi mereka yang berniaga.

Mereka mendakwa ancaman itu berikutan wujudnya lebih 50 ladang ternakan ayam di beberapa kawasan di seluruh daerah ini, dan mahu pihak berkaitan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini.

Seorang peniaga, Rashidah Arshad, 42 berkata, masalah lalat ini adalah masalah berulang dari semasa ke semasa, yang secara tidak langsung menimbulkan kesulitan kepada perniagaan kedai makan termasuk mereka yang berniaga di Bazar Ramadan.

Menurutnya, walaupun mereka memasang perangkap lalat namun kaedah itu tidak mencukupi dan tidak mampu membunuh lalat sepenuhnya.

“Lalat akan sentiasa hinggap pada makanan yang dijual walaupun kita meletakkan perangkap pelekat lalat. Pelanggan tidak suka dengan keadaan ini. Apabila melihat lalat hinggap pada makanan, sudah pasti mereka menganggap makanan itu tidak bersih sedangkan kita sudah berikhtiar mengurangkan jumlah lalat di premis kita,” katanya.

Sementara itu, Saidatul Akma Zainal, 28 berkata, sekiranya tiada pelanggan, mereka boleh menutup juadah dengan plastik tetapi jika pelanggan datang untuk membeli, plastik itu perlu dibuka bagi membolehkan pelanggan membuat pilihan.

Katanya, selain menggunakan perangkap, peniaga menggunakan kaedah lain seperti mengibas plastik untuk menghalau lalat sementara pelanggan memilih.

“Kebanyakan peniaga bimbang sekiranya situasi ini berterusan, ia akan menjejaskan perniagaan mereka kerana pada pandangan pelanggan, lalat yang hinggap pada makanan akan menjejaskan kesihatan mereka.

“Ancaman lalat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, dan kami berharap pihak yang berkaitan dapat mengambil tindakan drastik untuk mengurangkan ancaman lalat ini,” kata.
Saidatul Akma berkata, ancaman lalat bukan sahaja di premis perniagaan atau Bazar Ramadan tetapi juga di rumah.

Bagi Mizan Mohd Zain, 39, ancaman lalat ini kerap berlaku tanpa mengira waktu, dan hanya akan berkurangan sekiranya ada program atau aktiviti yang melibatkan orang kenamaan atau tetamu kehormat.

“Kalau ada aktiviti atau program dilaksanakan, jarang kita lihat lalat berterbangan. Malah untuk lihat lalat hinggap pada makanan pun sukar. Tetapi apabila program berkurangan, lalat akan banyak. Kami memang rimas dengan masalah ini, dan seolah-olah tiada tindakan susulan dilakukan pihak berkaitan,” katanya.

Menurutnya, ancaman lalat ini menyebabkan daerah ini lebih dikenali sebagai Bandar Lalat, dan jolokan nama ini sedikit-sebanyak memalukan penduduk di sini.



0 comments:

share2