Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 25, 2015

BERA : AGROPRENEUR MUDA USAHA TIMUN FERTIGASI

Agropreneur muda usaha timun fertigasi


Hanya berbekalkan semangat untuk bergelar petani moden dan sokongan daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bera, empat anak muda sanggup menghadapi kepayahan dan cabaran untuk mengusahakan tanaman timun.

Tanah seluas tiga ekar itu diusahakan sejak September tahun lepas, dan kini sudah memasuki musim ketiga dan dalam tempoh penuaian hasil.

Mereka tidak mempunyai asas dalam industri pertanian tetapi nekad untuk berjaya sebagaimana usahawan pertanian yang lain, yang mampu mencecah pendapatan bulanan yang lumayan.

Azlan Hashim, 36 berkata, pengusahaan tanaman timun ini agak rumit lebih-lebih lagi ia dilakukan secara fertigasi memandangkan kawasan tanah di sini tidak sesuai di tanam pada permukaan tanah.

Menurutnya, dengan bermodalkan RM150,000 atas bantuan PPK Bera, mereka mampu melakukan persiapan untuk memulakan projek ini termasuk kos pemasangan tiang, pagar, pondok, sistem enjin dan air, pembersihan kawasan dan anak benih.

“Memang kami tiada asas dalam bidang ini kerana kebanyakan hanya buat kerja biasa termasuk memandu lori. Tetapi apabila melihat kejayaan kawan-kawan yang lain, kami teruja untuk mengusahakannya.

“Lebih-lebih lagi apabila ayah saya sendiri (mantan Ketua Unit PPK Felda Sebertak) menggalakkan untuk menceburi bidang ini kerana peluang lebih cerah dalam bidang pertanian ini,” katanya.

Sistem fertigasi lebih rumit

Azlan berkata, mereka mengusahakan tanaman timun ini di atas keluasan tiga ekar tanah dan memerlukan penjagaan yang rapi kerana sistem fertigasi bukan semudah seperti tanaman biasa.

Mohd Rizal Abd Rahman, 35, berkata, kelembapan tanah dalam polibeg perlu dijaga apabila setiap dua jam pokok perlu disiram dengan air supaya timun mengeluarkan buah yang berkualiti.

Katanya, sekiranya air atau baja tidak mencukupi, daun menjadi kekuningan dan buah akan menjadi bengkok sekali gus menyebabkan ia digredkan rendah.

“Hanya buah timun yang berkualiti sahaja digred tinggi dan dijual pada harga yang tinggi. Sementara yang bengkok digredkan rendah dan sukar untuk dipasarkan walaupun ia masih boleh digunakan.

“Sebab itu, kami meluangkan masa sepanjang hari di sini untuk memastikan pokok dijaga rapi kerana berharap ia sentiasa menghasilkan buah yang benar-benar berkualiti,” katanya.

Dijual menerusi Fama

Difahamkan, hasil tanaman dijual menerusi Fama dan dijual di sekitar pasar borong sekitar Kuala Lumpur.

Semasa kehadiran wartawan Sinar Harian, keempat-empat sahabat ini sibuk dengan tugasan masing-masing lebih-lebih lagi sekarang masa menuai.

Turut kelihatan Hafizi Abd Ghani, 27, dan Sabri Ishak, 35 sedang meneliti pucuk bagi memastikan ia dalam keadaan elok supaya tidak membantutkan pertumbuhan buah.

Sabri berkata, walaupun hanya menggunakan sebelah tangan namun dia masih berusaha untuk memberikan kerjasama yang baik bersama pasukannya.

Katanya, kekurangan pada dirinya bukan penghalang untuk mencapai kejayaan kerana ramai di kalangan orang kurang upaya (OKU) sudah membuktikan perkara itu.

“Saya tidak boleh mengangkat tangan kanan saya tetapi masih boleh bekerja lagi. Kalau nk angkat benda berat memang tidak bolehlah, tetapi saya tidak anggap itu penghalang.

“Malah, Azlan juga senasib dengan saya kerana tangan kanan dia juga tidak boleh diangkat, tetapi saya lihat dia tetap gigih berusaha untuk memastikan projek kami ini berjaya,” katanya.

Mereka berharap usaha mereka ini mendapat perhatian pihak berkenaan dan membantu golongan belia yang bersedia menceburi bidang pertanian ini supaya mencapai sasaran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melahirkan lebih ramai agropreneur muda di kalangan belia dalam negara ini.


0 comments:

share2