Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 5, 2015

BANGUNAN HOTEL BERGOYANG MACAM NAK RUNTUH


Bangunan hotel bergoyang macam nak runtuh


"Lantai, siling bergegar dan bangunan hotel bergoyang seolah-olah akan runtuh," kata Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ruhaidini Abd Kadir menceritakan keadaan ketika gempa bumi berlaku di Sabah, hari ini.

Ruhaidini yang menginap di Apartment Marina Court Kota Kinabalu kerana bertugas di sana, memberitahu Bernama bahawa gegaran itu dapat dirasai selama 30 saat ketika beliau dan anggota keluarga sedang berehat di apartmen itu. 

"Ketika itu saya sempat menjerit kepada anggota keluarga saya untuk menyelamatkan diri...kami berlari menuruni anak tangga sehelai sepinggang dan berada di perkarangan bangunan apartmen bersama penghuni lain," katanya. 

Ruhaidini telah memuat naik gambar ketika kejadian gempa bumi itu dalam laman Facebooknya. 

Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah pada 7.15 pagi ini dan turut dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud. 

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Jabatan Pendidikan Perlis, Nazri Adam, 58, berkata pada kira-kira pukul 7.15 pagi, beliau tiba-tiba berasa pening dan melihat katil serta kerusi meja di bilik hotelnya bergoyang selama beberapa saat. 

"Pada mulanya saya tidak mengendahkannya, namun selepas itu saya nampak banyak mesej 'Whatsapp' yang menyatakan ada gempa bumi.. barulah saya sedar ia merupakan gempa bumi, " katanya yang berada di Kota Kinabalu untuk menghadiri majlis makan malam bersama bekas pelajar Maktab Perguruan Gaya malam tadi.

Beliau berkata, gegaran itu dirasai semasa hendak keluar dari biliknya untuk bersarapan pagi.

Bagi guru, Roger Fong yang tinggal di Keningau, Sabah pula, beliau turut merasai gegaran dan pada mulanya tidak pasti sama ada ia gempa bumi. 

"Jadi saya bertanyakan kawan saya melalui Facebook dan mereka mengesahkan ada gempa bumi di Ranau," katanya. 

Guru sekolah rendah di Tenom, Sabah, Lee Yen Fun berkata ini pertama kali beliau merasai gegaran gempa bumi. 

"Selama ini saya hanya melihat di televisyen dan membaca berita luar negara mengenainya. 

"Mujur ia bukan gegaran kuat dan syukur semuanya selamat," katanya.

0 comments:

share2