Kota Bharu – Tindakan dua lelaki yang konon-kononnya membantu seorang rakan mereka merebut kembali teman wanitanya dengan menahan kereta dinaiki mangsa mengundang padah apabila dicekup polis, Jumaat lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian jam 4 pagi itu, suspek tersilap sasaran, namun pemeriksaan polis ke atas dua mereka menjumpai selaras senapang angin buatan China di dalam beg galas salah seorang daripadanya.
Katanya, kejadian berlaku di Jalan Kubu Kuda, Jalan Sultan Zainab ketika kereta jenis Perodua Viva dinaiki tiga individu, dua lelaki dan seorang perempuan ditahan tiga suspek yang menaiki dua motosikal.
“Dua daripadanya membonceng rakan mereka dan seorang lagi menunggang seorang diri bertindak menahan kereta mangsa. Pemandu yang terkejut dan bimbang akan keselamatan diri tiba-tiba bertindak melanggar suspek dan terus memandu ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu,” katanya.
Susulan laporan dibuat pengadu, pihak polis melancarkan gerakan memburu suspek dan berjaya menahan dua daripada mereka yang berusia 24 dan 30 tahun di Jalan Sultan Ibrahim, di sini, sementara seorang lagi suspek bernama Ery berjaya meloloskan diri.
“Hasil siasatan polis dapati mereka bertidak demikian kerana berebut teman wanita Ery dan Ery dipercayai minta bantuan dua rakannya itu untuk dapatkan kembali teman wanitanya, namun mereka tersilap sasaran serta langgar mangsa yang tidak ada kena mengena,” katanya.
Mazlan berkata, mereka yang ditahan dikenakan reman seminggu bagi bantu siasatan.
Dalam pada itu, seorang bekas tentera berusia 32 tahun ditahan bersama sepucuk pistol buatan sendiri yang terselit di pinggangnya ketika menunggang motosikal di Kampung Chepa, Kedai Lalat, 13 Jun lalu.
“Turut dijumpai dalam pistol tersebut, sebutir peluru hidup. Pemeriksaan juga jumpai tiga pil dadah jenis metamphetamine. Lelaki ini juga adalah seorang banduan yang miliki rekod lampau curi serta menyamar sebagai anggota polis,” katanya.
0 comments:
Post a Comment