KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Tugas guru pada hari ini lebih mencabar iaitu ketika negara sedang menuju ambang negara maju, mereka memikul amanah besar untuk melahirkan modal insan yang berkualiti bagi memacu kemajuan negara.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata guru perlu melengkapkan murid dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu bagi membolehkan mereka bersaing dalam persekitaran yang lebih kompetitif dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
"Ini termasuk kemahiran berfikir aras tinggi, keupayaan untuk menganalisa dan mengaplikasi ilmu, kemahiran berkomunikasi serta daya kreativiti dan inovasi.
"Segala ilmu dan kemahiran ini perlu diterapkan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Jika guru dapat melaksanakan tugas mengajar dengan berkesan, maka murid yang dilahirkan bakal menguasai segala pengetahuan dan kemahiran yang dihasratkan," katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Guru, di sini hari ini.
Hari guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun di negara ini bertujuan menghargai dan mengiktiraf jasa bakti dan pengorbanan warga pendidik.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata pada masa sama, guru juga perlu memberi perhatian yang serius kepada aspek akhlak, moral dan pembangunan sahsiah murid, sejajar dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang.
Katanya, tiada maknanya jika negara menempa kemajuan material tanpa disokong oleh pengamalan nilai-nilai murni dan akhlak yang mulia.
"Kita perlu ingat bahawa negara maju yang ingin kita bina adalah berasaskan acuan sendiri yang mana nilai dan akhlak adalah tunjangnya yang utama," katanya.
Menjelas lanjut, tema sambutan Hari Guru pada tahun ini iaitu 'Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak' adalah amat bertepatan sekali dengan matlamat untuk melahirkan insan yang seimbang.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa dengan pelbagai inisiatif yang dirancang di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, dan sokongan guru-guru dalam menjayakannya, cita-cita murni untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia akan tercapai.
Muhyiddin turut menyeru para guru untuk berkhidmat dengan lebih gigih, tekun, berdisiplin dan amanah yang akan melonjakkan mutu pendidikan negara ke tahap yang terbaik.
"Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan selamat menyambut Hari Guru kepada semua guru walau di mana anda berada," katanya.
0 comments:
Post a Comment