Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 22, 2015

SETIAP HARI AIR LAUT MASUK RUMAH


Setiap hari air laut masuk rumah


Kuala Kurau - Fenomena air laut pasang besar di sekitar kawasan Jambatan Kuala Kurau sejak seminggu lalu menyebabkan dua rumah di Kampung Batu 14, di sini dan jalan susur keluar jambatan yang terletak berhadapan Taman Kurau Murni digenangi air masin hampir setiap hari.

Penduduk, Ow Eng Lai, 59, berkata, setiap hari rumahnya bersama penduduk lain di Kampung Batu 14, di sini dimasuki air.

Menurutnya, apabila rumah sering dimasuki air masin, kenderaan dan perkakas besi miliknya cepat berkarat selain menjejaskan kediamannya.

“Sudah lebih lima tahun lalu saya berdepan masalah ini dan sudah banyak barangan perkakas besi rosak dan berkarat akibat terkena air masin.

“Meskipun air masin naik memasuki rumah kami tidak sampai sejam, namun kesannya amat besar kerana ia punca kenderaan kami cepat berkarat,” katanya.

Eng Lai berkata, pihaknya mendapati faktor utama air laut melimpah di atas jalan susur keluar Jambatan Kuala Kurau dan memasuki rumah penduduk adalah disebabkan longkang kecil selain keadaan jalan yang rendah serta mendap.

“Selain itu, sistem perparitan di kawasan kampung kami dan hadapan Taman Kurau Murni, di sini juga sering tersumbat dan menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan sempurna,” katanya.

Eng Lai berkata, pihaknya memohon jasa baik Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menaik taraf jalan susur keluar Jambatan Kuala Kurau dengan meninggikan paras jalan, di samping mendalamkan lagi sistem perparitan.

Menurutnya, perkara ini sudah diadukan kepada wakil rakyat dan pihaknya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera demi kesejahteraan penduduk.

Sementara itu, Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari berkata, pihaknya mengesahkan menerima aduan penduduk dan sudah memanjangkan masalah itu kepada pihak bertanggungjawab.

Menurutnya, pihaknya berterima kasih kepada JKR kerana menaik taraf jalan susur masuk Pekan Kuala Kurau dari Jambatan Kuala Kurau dan sistem perparitan di situ sebelum ini.

“Namun, masalah sama berlaku di sisi susur keluar jalan Jambatan Kuala Kurau yang lagi satu dan saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat atasi segera masalah ini,” katanya.

0 comments:

share2