Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 22, 2015

[RAUB] PERTANDINGAN MENGENAL BURUNG ANTARABANGSA BUKIT FRASER 2015



Aktiviti memerhati burung atau 'Birding' juga dipanggil 'Bird Watching' sudah sekian lama menjadi hobi dikalangan masyarakat barat. Mereka sanggup menghabiskan masa beberapa jam memerhatikan tingkah laku ungas-ungas berkenaan dan mendokumentasikannya.

Bukit Fraser juga sudah sekian lama jadi jadi destinasi untuk pemerhatian burung oleh pelancong antara bangsa kerana bilangan burung yang dapat dilihat disini melebihi 240 species termasuk burung-burung yang 'migrate' dari utara dan selatan berikutan perubahan musim.

Ramai dari kalangan pelancong asing yang datang ke Bukit Fraser setiap tahun pada musim-musim tertentu untuk memerhati burung-burung yang sukar dilihat ditempat-tempat lain. 

Kerana itulah, pihak Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (Pelancongan Pahang) telah mengambil inisiatif menganjurkan satu pertandingan yang dinamakan 'Bukit Fraser's International Bird Race' (Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser) setiap tahun bermula pada tahun 1988 dengan menawarkan hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang mengikut kategori masing-masing.

Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser 2015 kali ini akan berlangsung selama 2 hari pada 23 dan 24hb Mei 2015. Pertandingan kali ke-28 ini dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser dengan kerjasama Pelancongan Malaysia, Tourism Malaysia, Malaysia Nature Society dan World Wide Fund For Nature.

Sebanyak 70 penyertaan terdiri dari 3 orang sepasukan, antarabangsa dan tempatan dijangka akan menyertai pertandingan kali ini.

Tujuan utama pertandingan diadakan adalah untuk memperkenalkan Bukit Fraser sebagai destinasi pemerhatian burung terunggul di Semenanjung Malaysia, menggalakkan aktiviti pemerhatian burung sebagai hobi sihat dan berunsur akademik, membangkitkan kesedaran khususnya warga Malaysia terhadap kekayaan khazanah alam semulajadi yang perlu dikekalkan, menjadikan dan mengekalkan Bukit Fraser sebagai santuari burung di Malaysia untuk generasi akan datang.

Beberapa pameran dan gerai jualan juga dibuka sempena pertandingan mengenal burung yang akan diadakan itu selain dari beberapa siri ceramah dan taklimat mengenai burung-burung dan alam semulajadi diadakan bagi menarik minat dan memberi kefahaman kepada pengunjung.

Lawatilah Bukit Fraser hujung minggu ini dan jadikannya percutian ke destinasi alam semulajadi anda yang bermakna.






0 comments:

share2