Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 22, 2015

KARAMAH INSAN DAN JIWA MUTTAQEEN


AL-QURAN dalam Surah al Hujurat ayat 13 menyebutkan Inna aqramakum ‘indallah hiatqaqum – karamah insan terhubung kepada yang berjiwa muttaqeen (taqwa). Kehebatan manusia tidak diukur dari warna kulit, bangsa dan darjatnya tetapi diukur setakat mana ia memiliki ketakwaan tinggi kepada ALLAH SWT.

Jiwa muttaqeen ini menjadi barometer atau kayu ukur status insan di sisi ALLAH. Sama ada insan itu mulia dirinya di sisi ALLAH atau sebaliknya diukur dari keinsafan ketuhanannya ( God-consciousness) dan amalannya.

Insaf-ketuhanan ini menjadi asas penting dalam berakidah. Keyakinan yang tinggi terhadap Pencipta menyebabkan sandaran kepada ALLAH menjadi yang paling utama. Konsep keesaan ALLAH yang membawa kepada konsep kesatuan menjadi inti pegangan dan pedoman.

ALLAH lah satu-satunya menjadikan alam ini dan menguruskannya dengan tertib dan teratur. ALLAH jugalah satu-satunya pemberi rahmah dan nikmah untuk dinikmati dan dimanfaatkan oleh manusia. ALLAH jugalah satu-satunya yang menjadikan alam dan seluruh isinya sebagai sumber ilmu untuk memandu kesejahteraan hidup manusia.

Daripadanya lahir ihsan yang tinggi bahawa tidak ada sekutu bagi ALLAH. Ihsan ialah pancaran taqarrub Ilallah iaitu kedekatan dan kehampiran kita kepada ALLAH seperti yang diungkap dalam hadis Rasulullah SAW, dalam melakukan sesuatu amal meski kita tidak melihat ALLAH tetapi wujud keyakinan ALLAH melihat kita.

Maksud ihsan ini amat besar maknanya dalam membangun jiwa muttaqeen. Ia sebagai asas membentuk jiwa ibadullah dan ibadurrahman pancaran dari jiwa kehambaan dan kekhalifan yang amat dituntut dalam beragama.

Para abid (ahli ibadah) yang memiliki keyakinan tinggi terhadap ALLAH akan sentiasa melakukan sesuatu keranaNya (ikhlas). Keikhlasan akan membawa ketelusan dan ketulusan kerana pertimbangan amal para abid sentiasa merujuk kepada pedoman ALLAH. Pedoman ALLAH menerusi al-Quran dijadikan asas sandaran dan rujukan tidak saja dalam hal aqidah dan ibadah, tetapi juga dalam hal syariah dan akhlak.

Akhlak karimah menjadi terlalu penting bagi manusia kerana tanpa akhlak karimah manusia bakal memiliki sifat haiwani dan ia bukan sesuatu yang fitrah. Sebab itu maksud diutuskan para Rasul kepada manusia ialah untuk menyempurnakan akhlaknya. ALLAH SWT membentuk Rasulullah SAW dengan pekerti terbaik supaya umat manusia mempunyai contoh teladan dan sumber ikutan dalam hidup.

Akhlak karimah yang sifatnya mithali menjadi sumber qudwah (contoh) kerana tanpa qudwah manusia akan kehilangan arah dalam membangun pola-pola watak dan sahsiah dan menyebabkan kekeliruan berlaku dan kecelaruan terjadi.

Manifestasi jiwa muttaqeen akan dapat dirasakan sekiranya apa saja yang kita fikir, cakap, buat dan amal sentiasa bersandar kepada ALLAH. ALLAH Maha Mendengar dan Maha Mengetahui akan apa yang dilakukan oleh hambaNya. Ia membolehkan manusia terpedoman dalam melakukan sesuatu.

Akhlak karimah dan jiwa muttaqeen sifatnya saling kukuh-mengukuh. Bila keyakinan terhadap ALLAH menjadi amat kental, ia bakal membentuk pola-pola akhlak dan tingkah-laku. Akhlak yang dijadikan rujukan ialah akhlak Rasulullah SAW yang disebut oleh isterinya Aishah sebagai akhlak al-Quran.

Khuluq al-Quran adalah lambang ajaran al-Quran yang hidup pada diri dan amalan Rasulullah SAW yang membentuk watak dan peribadi pengikutnya serta menyebabkan ummah terbina dan perjuangan atau jihad terjadi.

Antara perkara pokok yang menjadi inti perjuangan Rasulullah SAW ialah dakwah dan tarbiyyah. Dustur dakwah dari al-Quran dalam Surat An Nahl:125 dijadikan pedoman oleh Rasulullah SAW iaitu bil hikmah, walmau izatilhasanah, wajadilhum billati hia ahsan – dengan hikmah, pekerti yang baik dan bila berhujah dengan hujah yang terbaik menjadi sandaran utama bagi Rasulullah SAW dalam melakukan dakwah dan tarbiah.

Dakwah berakhlak karimah ini telah memberikan kesan yang amat besar terhadap perjuangan Rasulullah SAW memartabat akidah tauhid dalam kalangan warga umat dan menjadi sumber ikutan sehingga kini.

Sayangnya akhlak karimah ini disalah bawa oleh sesetengah “pejuang” Islam sehingga umat terus berada dalam perpecahan yang parah, kebencian dan dendam kesumat yang tinggi, jiwa muttaqeen tidak terbina sebaliknya nafsu amarah terjelma dan menyebabkan lahirnya firqah (kumpulan) yang bercanggah dengan sunnah dan ajaran Rasulullah SAW.

0 comments:

share2