Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 26, 2015

RAUB: KONTENA DADAH BERTUKAR WAJAH


Kontena dadah bertukar wajah


Sebuah kontena yang selama ini dijadikan lokasi penagihan dadah kini bertukar wajah setelah lokasi terbabit dibersihkan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah dengan kerjasama penduduk Felda Tersang.

Pengarah AADK negeri, Abdul Ghani Abdul Rahman berkata, pembersihan lokasi terbabit merupakan salah satu projek di bawah My Beautiful Malaysia (MyBM) yang diadakan oleh AADK.

Menurutnya lagi, kontena yang dikenali sebagai D’Kontena My Beautiful Malaysia terbabit telah diserahkan kepada pihak pengurusan Felda Tersang untuk dimanfaatkan.

“D’Kontena terbabit telah dibersihkan pihak AADK dengan kerjasama penduduk setempat sebagai satu usaha untuk menjadikan kawasan terbabit yang dikenalpasti sebagai lokasi penagihan dadah bebas dari gejala terbabit.

“Ia merupakan salah satu langkah pencegahan awal yang dilakukan oleh pihak AADK bagi mengurangkan masalah gejala dadah di tanah rancangan ini yang dikategorikan sebagai kawasan hitam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian D’Kontena My Beautiful Malaysia di tapak pekan sehari Felda Tersang, di sini, semalam.

“D’Kontena ini merupakan yang pertama pernah diwujudkan oleh pihak AADK, selain meletakkan informasi berkaitan AADK, saya harap ia dapat digunakan sebaik mungkin oleh penduduk Felda Tersang,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, AADK negeri tidak menafikan adanya penglibatan pelajar dalam aktiviti penagihan dadah, namun bagi negeri ini, ianya masih di paras rendah.

Katanya, meskipun begitu, perlu diambil beberapa langkah pencegahan bagi menangani masalah terbabit termasuk mengadakan ujian air kencing di sekolah.

“Kita ada mengadakan ujian air kencing di sekolah setiap tahun di mana 40 pelajar dipilih secara rawak oleh pihak sekolah untuk melakui ujian saringan terbabit.

“Ujian terbabit diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada golongan pelajar tentang bahaya dadah dan tidak terjebak dengan aktiviti dadah.

Beliau juga dalam masa sama turut mengharapkan kerjasama komuniti, keluarga atau individu yang terlibat dengan dadah agar menyerah diri agar mereka dapat melalui proses pemulihan.

“Kita harap keluarga khususnya dapat memberi kerjasama yang baik dengan pihak AADK dalam usaha membanteras penagih dadah dalam kalangan keluarga mereka.

“Pemulihan dilakukan dengan melibatkan sembilan elemen dan ini termasuklah keagamaan dan kekeluargaan, selain turut melibatkan badan bukan kerajaan yang juga terdiri dari bekas penagih dadah,” katanya.

0 comments:

share2