Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 26, 2015

[KUANTAN] AMARAN KERAS KEPADA PENGUSAHA BIJIH BESI DAN BAUKSIT




Dalam satu sidang akhbar di pejabatnya siang tadi, Menteri Besar Pahang memberi amaran keras kepada semua kontraktor dan pelombong supaya mereka lebih berhati-hati dan memastikan kebersihan alam sekitar dalam menjalankan operasi mereka. 

"Jika tidak, langkah terakhir (yang akan kerajaan ambil adalah) akan menutup semua sekali operasi perlombongan demi kepentingan orang ramai" - katanya.

Sidang akhbar diadakan sejurus selesai mesyuarat tinggi peringkat Negeri Pahang bagi mengatasi masalah pencemaran akibat perlombongan bijih besi dan bauksit akhir-akhir ini.

Menteri Besar memaklumkan bahawa kerajaan sedar kesulitan yang dihadapi rakyat. Ini adalah kali ke-3, sebelum ini pada 21 Januari dan 4 Februari, perbincangan diadakan untuk memberi peringatan kepada pelombong dan pengusaha agar patuh kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Bagi tempoh 2.4.2015 hingga 23.5.2015 sejumlah 43,278 buah lori telah diperiksa. Sebanyak 1,394 buah lori telah di 'sita' manakala jumlah kutipan kompaun oleh PTG sebanyak RM601 ribu.

Selain itu, sejumlah saman telah dikeluarkan oleh beberapa pihak iaitu JPJ sebanyak RM180,600, MPK sebanyak RM3,000 dan PDRM sebanyak RM105,600.

Pihak kerajaan mengenalpasti beberapa kawasan perlombongan dan akan sentiasa memantaunya. 5 kawasan perlombongan haram adalah; 1) Bukit Goh (Tanah Milik), 2) Bukit Goh (menghala ke Bukit Sagu), 3) Belakang Taman Dato' Rashid, 4) Belakang Bandar Damansara. dan 5) Belakang Aspa Cottage.

5 sekatan jalan raya bagi tujuan menghalang pengeksportan secara haram dilakukan secara bersepadu oleh beberapa agensi terlibat dikawasan-kawasan tertentu sebelum ini, bagaimanapun ianya akan dikurangkan kepada 3 lokasi sahaja disebabkan masalah kekurangan kakitangan namun dengan penambahbaikan perlaksanaan tugas.

Antara jenis kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha adalah;
1. Beroperasi tanpa Permit - Tindakan di'sita' dan kompaun sebanyak RM50 ribu.
2. Menggunakan Permit orang lain
3. Menggunakan Permit 'Palsu'
4. Memiliki 'Mineral Ore Licence' tapi melakukan perlombongan haram
5. Menggunakan Permit '4B dan '4C' untuk tujuan mengeksport.

Beberapa cadangan untuk tindakan serta merta telah dibuat oleh pihak kerajaan;
1. MOL (Mineral Ore Licence) akan dikawal dengan rapi dan tindakan lebih keras akan diambil kepada mereka yang melakukan kesalahan serta menyalahgunakannya.
2. Lombong haram yang sudah dikenalpasti akan diambil tindakan 'sita' peralatan yang digunakan.
3. Meneruskan sekatan jalan raya dengan penambahbaikan.
4. Pintu 'A' Pelabuhan ditutup kepada lori membawa bijih besi dan bauksit, sebaliknya hanya pintu 'B' dibenarkan digunakan untuk tujuan pemantauan.
5. Mengurangkan 'Stock Pile' di Pelabuhan serta menghalang lori dibersihkan dikawasan berkenaan kerana ianya adalah punca warna air laut tercemar dan berubah warna.

Kata Dato' Seri diRaja Adnan Yaakob lagi, syarat-syarat tambahan akan dikenakan kepada pengusaha-pengusaha antaranya adalah mengenakan deposit serta memaksa membersihkan kenderaan terlebih dahulu sebelum keluar ke jalan-jalan raya.

Beliau juga meminta pihak industri di Gebeng supaya jangan risau kerana kerajaan sedang menyelesaikan masalah berkenaan dan memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan kesannya.



0 comments:

share2