Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 26, 2015

LAGI DESAKAN PENYEBAR VIDEO TPM PERLU DIHUKUM


Shahrir Abdul Samad


Kuala Lumpur - Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad menegaskan tindakan perlu diambil ke atas penyebar video ucapan Timbalan Presiden Umno,Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ini kerana ucapan itu hanya ditujukan kepada peserta kursus anjuran parti itu sahaja yang dibuat secara tertutup.

"Ya.. bersetuju diambil tindakan, dia patutnya tahu bahawa ini kursus tertutup.

"Kenapa harus ambil video dan sebarkannya, saya tak tahulah apa matlamat dia," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru menambah, semua pihak yang menyertai kursus berkenaan telah mengetahui ia merupakan kursus tertutup.

"Sebenarnya kalau semua pihak sudah tahu, itu dipanggil kursus tertutup.

"Saya tak tahu dia ini urusetia, saya dengar dia ini tetamu, kenapa dia berada di situ," soalnya.

Tegasnya, urusetia yang menganjurkan program itu seharusnya bertanggungjawab dengan penyebaran video itu.

"Urusetia yang berkenaan harus bertanggungjawab dengan menyatakan dengan benar yang terlibat adalah tetamu.

"Kalau dia tetamu, kenapa dia dibenarkan berada di situ dan mengambil video," tegasnya.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap seorang pemimpin Umno bahagian yang menyebarkan video tersebut.

Ahmad Zahid berkata, pemimpin terbabit mendakwa beliau menyebarkan klip video tersebut untuk anggota jawatankuasa bahagiannya dan juga kumpulan Telegram (aplikasi chatting) timbalan-timbalan ketua Umno bahagian di seluruh negara.

0 comments:

share2