Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 26, 2015

HAJI HADI JADI KAMBING HITAM

AFF0788



Hari ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang secara terbuka mendakwa Pakatan Haram bakal berkubur dalam tempoh dua minggu lagi. Berdasarkan tulisannya itu, saya dapat simpulkan bahawa dia merujuk kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai penyebab utama kemusnahan Pakatan Haram.

Secara jelas, Kit Siang meletakkan kesalahan di bahu Abdul Hadi sekiranya Pakatan Haram benar-benar berkubur nanti. Malah tanpa sebarang fakta kukuh, DAP seolah mendakwa Abdul Hadi akan menggabungkan PAS dengan UMNO/Barisan Nasional sekiranya kekal sebagai Presiden PAS pada muktamar parti itu pada awal Jun ini.

Kit Siang mendakwa, Abdul Hadi tidak patuh pada dasar bersama dan prinsip konsensus Majlis Pimpinan Pakatan Haram. Lebih meloyakan, dia menegaskan bahawa hanya cara patuh pada dua prinsip berkenaan sahaja yang dapat “menyelamatkan” Pakatan Haram yang sedang “nazak”.

Saya melihat bahawa tulisan Kit Siang kali ini seolah bermain tarik tali. Dia seolah takut jika PAS keluar dari Pakatan Haram. Seakan-akan menunjukkan DAP sebenarnya takut kehilangan “keldai” yang mereka tunggang sejak tahun 2008 hingga kini…

Dasar bersama? Prinsip Konsensus? Dua perkara yang menjadi “penyelamat” Pakatan Haram? Benarkah dua perkara itu merupakan “penyelamat”? Atau ia sekadar “tali dan cangkuk” yang bakal mengekalkan PAS sebagai “lembu yang dicucuk hidungnya” untuk terus dikuasai DAP dan PKR?

Pada penelitian saya, PAS pernah patuh dan setia pada dua prinsip berkenaan. Buktinya, PAS pernah menahan malu bermuka tebal untuk berhadapan rakyat apabila terpaksa meng”ghaib”kan hudud dan perjuangan menjadikan Malaysia sebagai Daulah Islamiyyah.

Ketika itu, PAS berdepan masalah yang sangat besar. Ramai ahli dan penyokongnya marah dan mengecam Abdul Hadi kerana menggadaikan perjuangan tradisi PAS yang dipegang sejak zaman berzaman itu. Ketika itu ada DAP hargai Abdul Hadi? Anwar juga yang diangkat sebagai “dewa”, kan?

Meskipun boleh dikatakan hampir tiada langsung dasar perjuangan PAS termaktub dalam “kitab suci” Pakatan Haram, buku Jingga, PAS dan Abdul Hadi terpaksa menahan malu sekali lagi. Mungkin marak api kemarahan dalam hati, tapi disebabkan patuh pada dasar bersama dan prinsip konsensus, PAS hanya berdiam diri sahaja ketika itu.


hadiawang540px_4


Selepas PRU ke-13, ternyata pengorbanan PAS tidak berbaloi. “Tahaluf siyasi” mereka terbukti tidak membawa pulangan yang positif kepada perjuangan PAS. Malah PAS semakin teruk menjadi “tunggangan” DAP dan PKR.

Paling teruk, DAP bermati-matian melancarkan perang terhadap Abdul Hadi dengan matlamat menjatuhkan beliau dari jawatan Presiden PAS. Pada DAP, mereka mahu PAS diketuai oleh seorang Presiden yang mahu mendengar kata mereka dan akur pada arahan mereka?

Pada pandangan saya, mungkin Ahmad Awang boleh berbuat apa yang dimahukan DAP dan PKR, tapi tidak lagi Abdul Hadi. Abdul Hadi pada pandangan saya merupakan seorang pemimpin yang terkenal dengan pendekatan keras, radikal dan tegas dalam perjuangan PAS. Setelah beliau “dilukai”, tunggu sajalah “ngauman harimau”nya…

Sekiranya Pakatan Haram hancur sebagaimana yang dikatakan Kit Siang, saya berpendapat adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan pada bahu Abdul Hadi. Sebaliknya, PAS dan PKR boleh meletakkan kesalahan tersebut pada Kit Siang dan DAP sendiri.

DAPlah yang memarakkan api kemarahan PAS. DAP dan PKR bersekongkol menafikan hampir semua dasar PAS yang merujuk pada dasar Islam. Hinggakan hukum hudud yang tiada kena mengena dengan golongan bukan Islam pun DAP nak menyebok campur tangan?

DAP juga bertanggungjawab menyerang Abdul Hadi dan memalukan PAS secara terbuka di media. DAP yang membakar jambatan sebenarnya, bukan PAS. Tapi PAS jugalah yang menjadi mangsa tuding jari DAP! Kalau saya ditempat Abdul Hadi, saya pun marah…

Pada PAS, mungkin mereka dapat menahan sabar sekiranya DAP bermasalah dengan Abdul Hadi. Namun apabila DAP dan PKR bersekongkol menolak hukum hudud di Kelantan, pada PAS tindakan itu benar-benar mencetus kemarahan mereka kerana menolak usaha melaksanakan perintah dan hukum Allah.

Justeru itu, meletakkan diri dalam kelompok PAS, saya dapat melihat kegagalan DAP dalam memahami isu sebenar yang menjadi punca pergolakan di dalam Pakatan Haram. Tegasnya, Kit Siang, Guan Eng dan DAP merupakan punca sebenar kemusnahan Pakatan Haram.

Kesimpulan saya amat mudah. PAS sewajarnya perlu bergerak secara solo seperti dulu jika tidak mahu melihat perjuangan mereka dicemari DAP dan PKR lagi selepas ini. PAS mampu bergerak dan berdiri atas kaki sendiri dan berlaku sebagai pembangkang yang sihat dalam menentukan “check and balance” di Dewan Rakyat sebagaimana dulu.

Hakikatnya, hanya DAP dan PKR saja sebenarnya yang tidak sanggup “kehilangan” PAS. Atau lebih tepat lagi, DAP dan PKR risau sekiranya mereka hilang “haiwan tunggangan” mereka yang ampuh “diperkuda” sejak 2008. Itu yang mereka takutkan.

Bermuktamarlah PAS dengan lapang dada kali ini. Saya benar-benar teruja untuk mengetahui keputusan pemilihan PAS kali ini. Dan selepas keputusan diperoleh, kita boleh jangka sama ada PAS akan mundur ke belakang, atau akan kembali sebagai pembangkang yang sihat. Wallahu’alam.




0 comments:

share2