Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 4, 2015

#PRKRompin: SPR NASIHAT PENGUNDI SEMAK MAKLUMAT PUSAT UNDI





Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin untuk menyemak maklumat pengundian termasuk nama pusat mengundi sebelum hari mengundi, Selasa ini.

SPR dalam satu kenyataan berkata semakan boleh dilakukan di laman web rasmi suruhanjaya itu di www.spr.gov.my atau menghubungi pejabat SPR Putrajaya di 03-88927000.

"Semakan juga boleh dilakukan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR <jarak> SEMAK <jarak> NO KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888.

"Pengundi turut boleh membuat semakan di barung SPR di setiap pusat mengundi pada hari pengundian," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu hanya barung SPR dibenarkan dibuka bagi kemudahan pengundi membuat semakan semasa pengundian Selasa ini, dan semua barung ini akan dilengkapi dengan komputer bagi mempercepatkan proses semakan.

Untuk memastikan proses semakan berjalan lancar, SPR berkata orang lain tidak dibenarkan berada di barung SPR, selain daripada petugas SPR dan pemerhati barung yang dilantik bagi pihak calon yang dilantik secara sah oleh calon itu sendiri.

"Parti politik dan calon tidak dibenarkan membuka, menubuhkan atau menyenggara pejabat atau barung dengan tujuan membantu pengundi membuat semakan," katanya.

SPR juga menasihatkan pengundi untuk keluar melaksanakan tanggungjawab mereka secara berperingkat mengikut kesesuaian masa bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi.

Tambahan pula, semua 38 pusat mengundi, dengan 115 saluran akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang.

Seramai 52,744 pengundi yang layak mengundi Selasa ini, sementara 464 daripada 545 pengundi awal telah mengundi pada Khamis lepas.

PRK Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Hasan Arifin dan calon Pas Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

0 comments:

share2