Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 4, 2015

#PRKRompin: AIR BERSIH DI KAMPUNG ORANG ASLI


Air bersih di kampung Orang Asli


Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berhasrat mengetengahkan permasalahan berkaitan bekalan air bersih melibatkan penempatan masyarakat Orang Asli seluruh Pahang di Mesyuarat Exco Kementerian Kemajuan Wilayah Luar Bandar, selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin.

Adnan berkata, hasrat tersebut akan diusulkan sendiri memandangkan ia memerlukan peruntukan besar untuk mendapatkan loji rawatan air bagi setiap kampung.

“Kita simpati dengan masalah dihadapi masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan bekalan air bersih memandangkan rata-rata kampung mereka terdedah dengan pelbagai pembangunan yang menyebabkan sungai tercemar.

“Walaupun punca air mereka nampak jernih tetapi kualitinya tidak semesti baik dan ia sangat memerlukan kaedah seperti yang baharu diperkenalkan untuk merawat air iaitu ‘reverse osmosis’.

“Saya sendiri telah mencuba air yang dirawat melalui kaedah tersebut dan ternyata ia sangat berkesan dan sesuai untuk diletakkan di setiap penempatan Orang Asli.

Beliau berkata dalam satu sidang media, selepas Majlis Ramah Mesra dan Bantuan Pendidikan di Kampung Orang Asli Bukit Lepas, Endau, di sini, semalam.

Turut hadir, Adun Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain dan Exco Hal Ehwal Felda Negeri, Datuk Abu Bakar Harun.

Dalam pada itu, menurutnya perbincangan tersebut juga bertujuan menyelesaikan masalah peruntukan kos yang tinggi untuk menyediakan mesin rawatan tersebut.

“Nilai kos untuk menyediakan sistem memproses air payau, ‘reverse osmosis’ tersebut bernilai kira-kira RM30,000 bagi setiap satu yang perlu ditempatkan di setiap kampung.

“Pada peringkat awal ini, kita akan beri perhatian ke kawasan penempatan Orang Asli yang berada di bawah Parlimen Rompin iaitu sebanyak 40 buah kampung.

“Bagi fasa pertama, kita telah menyelesaikan masalah air bagi 12 buah kampung di Rompin dan Kampung Denai, dekat sini, antara berjaya menggunakan sistem tersebut yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM1 juta, jadi kita harap akan ada dapat lagi peruntukan untuk membantu seluruh kampung Orang Asli,” katanya.

0 comments:

share2