Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 4, 2015

ROMPIN : BEKALAN AIR BERSIH GUNA SISTEM RAWATAN RO




Kerajaan negeri Pahang bercadang menyediakan bekalan air bersih melalui sistem rawatan "Osmosis Berbalik" (RO) kepada 12 kampung Orang Asli di sekitar Rompin.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata ia adalah bagi membantu masyarakat Orang Asli mendapat bekalan air bersih ekoran sumber air sungai mereka di daerah itu tercemar akibat aktiviti-aktiviti tidak terancang.

Justeru itu, pihaknya akan berbincang dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan projek rawatan air menggunakan kaedah RO dengan secepat mungkin, katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan sara hidup kepada 291 Orang Asli di Perkampungan Bukit Lepas dekat sini, hari ini.

Menyentuh mengenai projek perladangan anak syarikat kerajaan negeri, Yayasan Pahang Plantation Holdings Sdn Bhd, beliau berkata projek di kawasan seluas 800 hektar di Mentelong yang akan dimulakan tidak lama lagi itu akan turut dinikmati oleh 291 Orang Asli dari empat kawasan di situ. 

Beliau berkata mereka terdiri daripada penduduk Kampung Denai, Kampung Mentelong, Kampung Sungai Mok dan Kampung Bukit Lepas, akan turut mendapat nikmat daripada keuntungan projek itu.

"Mereka akan menerima saham selepas tanah itu diusahakan, mungkin dalam masa tiga tahun," katanya.

Ketika mengulas mengenai harga rumah baharu bagi generasi kedua Felda di Rompin, Adnan berkata langkah itu menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap warga Felda.

Beliau, bagaimanapun meminta Bank Negara supaya memberi kelonggaran dalam kemudahan pinjaman perumahan berikutan ramai generasi kedua Felda tidak memiliki penyata gaji kerana berniaga sendiri.

"Pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun RAzak) akan lebih lengkap jika Bank Negara mengarahkan bank-bank tempatan supaya melonggarkan terma pinjaman kerana ramai anak-anak Felda berniaga sendiri," kata beliau.

Najib semalam mengumumkan kerajaan menawarkan harga RM90,000 untuk pembelian rumah secara jual-beli kepada generasi baharu FELDA di Parlimen Rompin, berbanding harga asal RM125,000 yang ditawarkan sebelum ini.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, sebanyak 45 buah kenderaan bagi membawa pengundi keluar mengundi pada Selasa ini telah disediakan, katanya.

"Kita tahu peratusan pengundi yang keluar bagi PRK tidak akan sama seperti Pilihan Raya Umum 2013, namun saya menggesa supaya semua penduduk Parlimen Rompin supaya keluar mengundi pada Selasa ini," tambah beliau.

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Sebanyak 460 pengundi awal atau 84.4 peratus daripada 545 pengundi awal telah menjalankan tanggungjawab mereka pada 30 April lepas, di empat pusat pengundian dan sejumlah 52,744 lagi pengundi akan menunaikannya pada Selasa ini.

1 comments:

  • Ida says:
    July 1, 2015 at 10:15 PM

    Alhamdulillah, kerajaan Pahang telah mengambil inisiatif yang ke depan, bukan mudah ya untuk menyelenggara sistem RO, harap perkara yang dititikberatkan juga adalah penyelenggaraan dalam masa yang panjang, itu juga penting, apa-apa pun tahniah :)

    -bukan anak Pahang tapi teruja mendengar berita ini- :)
    www.penapiscoway.net

share2