BUNYI enjin kereta Viva putih yang sedang dipandu perlahan-lahan di tengah kegelapan malam di tepi masjid Kampung Alor Ara, Arau, Perlis langsung tidak mencuri perhatian jemaah masjid yang sedang khusyuk menunaikan solat Isyak.
Namun apabila semakin lama kereta misteri itu berhenti di tengah jalan, seorang penduduk kampung mula curiga lalu keluar untuk bertanya hala tuju pemandu yang menunggu bersendirian. Wajahnya juga bukan orang kampung di situ.
Tidak sampai seminit bersembang dengan pemandu tersebut, tiba-tiba seorang lagi lelaki muncul dari dalam kegelapan terus melompat masuk dan si pemandu memecut kenderaannya meninggalkan jemaah masjid terpinga-pinga.
Apabila diperiksa, barulah Mohd Nordin Mustapa, 45, menyedari bahawa lelaki yang ditegurnya bersama rakannya tadi telah mencuri 18 anak pokok harumanis yang baru seminggu ditanam di tanah belakang masjid tersebut.
Manakala tujuh lagi anak pokok yang telah dikumpulkan ditinggalkan pencuri terbabit di tanah tersebut selepas disapa Nordin.
Kejadian pada jam 8.45 malam itu, menyebabkan Nordin kerugian RM270. Anak pokok harumanis yang dicuri berharga RM15 setiap satu. Dia yang baru berjinak-jinak untuk menjadi pengusaha ladang harumanis telah menanam 60 anak pokok itu dua minggu lalu.
Sebelum itu, seorang kakitangan di sebuah universiti awam di sini kerugian lebih RM500 apabila anak pokok yang juga baru disemai seminggu dikebas pencuri.
Mungkin kerana mahu menunjukkan pencuri itu masih berhati perut, dia meninggalkan satu anak pokok kepada pemiliknya.
Menurut Yeob Ismail, 52, dari kampung yang sama, dia kehilangan 26 anak pokok harumanis dari 27 anak pokok yang ditanam dua minggu lalu.
“Saya beli setiap anak pokok itu dengan harga RM13 dan menjaganya di rumah selama sebulan sebelum menunggu hujan.
“Apabila hujan barulah saya menyemai pokok-pokok tersebut, kemudian saya buat pagar bagi mengelak dimakan binatang, tak sangka pula baru seminggu saya tanam pencuri dah kebas, anak pokok yang dicuri itu sudah besar, harganya boleh mencecah antara RM20 dan RM25 sepokok.
“Sejurus kejadian, saya terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Arau. Selepas tiga hari, saya beli anak pokok harumanis yang baharu untuk disemai semula di tapak yang sama. Saya tanam bukan untuk jual tapi hanya untuk makan kerana harganya yang tinggi,” ujarnya.
Terpaksa upah orang jaga ladang
Rata-rata penanam harumanis di Perlis, kini dilanda fenomena panik. Selama dua bulan musim mempelam itu berbuah, selama itulah pemilik kebun harumanis sukar tidur nyenyak.
Nampaknya buah yang hanya sebesar penumbuk ini sudah mencapai nilai begitu tinggi, setaraf durian yang sekian lama menguasai gelaran raja buah.
Fenomena ini juga menyebabkan pemilik ladang terpaksa mengupah orang untuk mengawal tanaman berharga mereka. Rata-rata mereka tidak tenang melakukan aktiviti harian melainkan mengupah orang menjaga ladang mereka biarpun pada siang hari.
Bagi Zainal Abidin Ahmad, 60, dari Kampung Simpang Geti, Arau, dia kini lebih berhati-hati sehingga sanggup membayar RM15 sejam sebagai upah menjaga ladangnya, termasuk ketika kalangan lelaki keluar menunaikan solat Jumaat.
“Setiap hari Jumaat sejak bulan lalu, saya mengupah wanita selama sejam bagi menjaga ladang saya supaya tidak berlaku kecurian. Sebelum ini banyak kecurian sudah berlaku. Pencuri ini turut kebas buah yang putik menyebabkan saya rugi,” katanya.
0 comments:
Post a Comment