Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 23, 2015

KUANTAN: MINTA LEBUH RAYA PEKA KESELAMATAN PENUNGGANG


Minta lebuh raya peka keselamatan penunggang

Seorang pekerja pelantar minyak menggesa sebuah syarikat konsensi lebuh raya peka terhadap aspek keselamatan pengguna khususnya di laluan motosikal.

Zulkifli Idham, 61, dari Bukit Rangin, dekat ini, yang bekerja sebagai perunding dalam industri minyak dan gas mengalami kecederaan ekoran akibat kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur, susur keluar ke Plaza Tol Jabor A, kira-kira jam 4 petang, 17 Mei lepas.

Kemalangan tersebut menyebabkan Zulkifli mengalami kecederaan di bahagian lutut kiri dan tangan kanan selepas motosikalnya terbabas ketika melalui laluan kenderaan.

Dakwanya, ketika kejadian dia datang dari arah Chukai yang menuju ke Kuantan keliru dengan keadaan di plaza tol berkenaan kerana tiada lorong khas kenderaan motosikal disediakan.

“Pada hari kejadian, saya menggunakan laluan kenderaan seperti kenderaan lain juga mandangkan tidak ada sebarang papan tanda menunjukkan laluan motosikal.

“Saya melihat beberapa buah kenderaan melintasi tol tersebut yang mana palangnya sudah dinaikkan dan sewaktu tiba giliran saya, secara tiba-tiba palang automatik tersebut jatuh.

“Ketika itu, secara spontan saya cuba mengelak palang tersebut dan tanpa sedar saya sudah terbabas ke tepi tol tersebut serta mengalami kecederaan yang agak serius,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Dalam pada itu, katanya, tindakan segera perlu diambil bagi mengelak daripada lebih banyak kenderaan terutama motosikal berhadapan dengan situasi yang sama.

“Susulan daripada kejadian tersebut, anak saya yang turut memandu kenderaan pacuan empat roda berada di belakang saya telah mengambil inisiatif untuk menulis sendiri di atas kertas menunjukkan laluan motosikal yang perlu dilalui pengguna motosikal lain.

“Saya menggesa tindakan yang drastik perlu diambil oleh pihak yang bertanggungjawab memandangkan kemalangan seumpama ini boleh mendatangkan kecederaan dan mengundang maut terutama pengguna motosikal," katanya.

Tambahnya, ekoran daripada kejadian tersebut dia terpaksa menjalani rawatan di hospital lebih kurang tiga minggu dan keadaan tersebut menyebabkannya gagal untuk kembali bertugas seperti biasa.

0 comments:

share2