Kota Bharu - Pas mengakui bahawa parti itu sukar untuk mencapai kemenangan pada PRK Parlimen Rompin memandangkan kawasan berkenaan merupakan kubu kuat BN.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, parti itu tewas dengan majoriti yang agak besar.
"Mesti realistik... mungkin sukar untuk menang sebab baru-baru ini kami kalah dengan lebih 15,000 undi dan dalam pilihan raya kecil ini seluruh kekuatan BN akan tertumpu di Rompin.
"Kami akan guna ruang yang ada untuk sampaikan mesej kepada masyarakat dan pergi lebih dekat kepada masyarakat untuk pertahankan undi yang ada, itu sudah baik tetapi kalau kena kepada cara kempen undi juga akan bertambah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Wayang Kulit Kebangsaan di Muzium Negeri Kelantan di sini, malam tadi.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April.
Allahyarham Jamaluddin menjadi anggota Parlimen kawasan itu selama enam penggal dari 1990. Pada PRU 2013, beliau menewaskan Ketua Muslimat Pas Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 5 Mei sebagai hari mengundi manakala hari penamaan calon pada 22 April.
0 comments:
Post a Comment