Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 17, 2015

KUANTAN : ISU GAS MASAK BELUM SELESAI

Isu gas masak belum selesai




Krisis bekalan gas memasak yang sudah berlarutan hampir tiga bulan masih belum berkesudahan apabila stok bekalan barangan tersebut tetap tidak mencukupi di pasaran.

Malah ia dikatakan semakin kritikal apabila peruncit tidak mempunyai bekalan yang mencukupi untuk keperluan pengguna.

Seorang pengguna, Mohd Saiful Abdullah, berkata, isu tersebut sudah lama dan pihak bertanggungjawab seharusnya membuka mata dan turun padang menyelesaikan isu itu bersama pemborong.

Dakwanya, pengguna kini bukan sahaja berdepan dengan kesulitan mendapatkan bekalan gas memasak tetapi terpaksa membayar lebih apabila terdapat caj perkhidmatan yang dikenakan menyebabkan harga gas mencecah RM30 hingga 32.

“Caj tersebut tidak patut dikenakan dan saya harap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang melakukan siasatan terhadap pemborong dan peruncit.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang perlu bersemuka dengan mereka bagi menyelesaikan isu bekalan gas.

“Selain itu, KPDNKK juga perlu melakukan pemeriksaan di kedai runcit yang memiliki lesen bekalan barang kawalan ini mempunyai bekalan yang secukupnya,” katanya.

Mohd Saiful berkata, dia yang berdepan situasi kesukaran mendapat bekalan gas terpaksa pergi kepada pemborong.

“Saya dikenakan caj perkhidmatan RM3.40 walaupun saya sendiri yang pergi ke gudang mereka. Sebagai pengguna, ada kalanya kita terpaksa membayar walaupun mahal,” katanya.

Mohd Saiful berkata, penguatkuasaan KPDNKK perlu lebih proaktif dan berunding dengan pemborong untuk memastikan isu bekalan gas memasak selesai.

Katanya, dia sudah membuat laporan kepada KPDNKK berhubung isu tersebut.



0 comments:

share2