Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 18, 2015

RAUB : BUKIT FRASER KINI ADA PERPUSTAKAAN

Bukit Fraser kini ada perpustakaan


Penduduk Bukit Fraser teruja apabila penantian mereka sejak sekian lama untuk memiliki perpustakaan sendiri jadi kenyataan apabila Perpustakaan Komuniti Bukit Fraser pertama dengan rasminya dibuka kepada masyarakat Ahad lalu.

Perasmian perpustakaan yang berlangsung di Kompleks Pelancongan Bukit Fraser itu telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Menurut Mohd Sharkar, perpustakaan merupakan satu bentuk kemudahan yang amat penting tidak hanya bagi penduduk di kawasan sekitar, malah juga buat pengunjung yang mengunjungi pusat peranginan yang terkenal dengan jolokan Little England itu.

“Perpustakaan merupakan pusat dan sumber kepada pendidikan dan ia seharusnya ada di setiap pekan mahu pun bandar yang ada di negara kita ini. Keperluannya di Bukit Fraser amat jelas tambahan pula terdapatnya sekolah rendah di kawasan ini. 

“Ia juga boleh dijadikan sebagai sebuah pusat rujukan intelektual dan lokasi riadah buat penduduk dan pengunjung yang hadir ke sini,” katanya.

Menurutnya, pembinaan perpustakaan terbabit merupakan cetusan idea Pengerusi Jawatankuasa Penganjur juga selaku Pengerusi Perpustakaan Komuniti Bukit Fraser, Dr Zubaidah Ibrahim-Bell yang turut hadir dalam majlis perasmian terbabit. 

“Perpustakaan ini menggunakan sistem Dewey Decimal Classification kerana ia merupakan satu suai yang bersesuaian dan memudahkan pengunjung. Selain itu, perpustakaan ini juga dilengkapi dengan 2,000 buah buku meliputi fiksyen, dokumentari, seni dan reka bentuk, buku rujukan sekolah rendah dan menengah, novel dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.

Majlis perasmian terbabit turut dihadiri oleh Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser, Datuk Ishak Mokhtar, dan Timbalan Pengarah Perpustakaan Negara, Wan Husin Wan Ismail. 

Sharkar juga berkata, perpustakaan terbabit juga dibina bagi menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat khususnya kanak-kanak dan remaja komuniti Bukit Fraser.

“Ia secara tidak langsung meningkatkan pengetahuan serta mendidik kemahiran bahasa anak-anak tempatan selain boleh memberi kemudahan buat pelawat dan pelancong untuk mencari bahan bacaan dan rujukan.

“Ia juga menjadikan Bukit Fraser sebagai sebuah pusat pelancongan yang tidak ketinggalan dari sudut pengetahuan terkini dan juga pendidikan,” katanya.



0 comments:

share2