Putrajaya - Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan memudaratkan orang miskin khususnya mereka yang tergolong daripada lapan golongan asnaf.
Demikian kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sambil menegaskan golongan tidak akan terbeban kerana mereka diberi pelbagai bantuan zakat dan kebajikan.
"Dengan banyaknya insentif diberi (bantuan zakat dan kebajikan) namun secara umum (GST) tidak sampai kepada tahap sampai menyukarkan dalam kehidupan (orang miskin).
"Setiap minggu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan mengemas kini penerima (asnaf) supaya tiada yang terpinggir menerima bantuan," katanya pada Seminar GST dari Perseptif Islam anjuran Jakim, di Masjid Putra, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan mengenai rungutan orang ramai bahawa pelaksanaan GST menjejaskan kehidupan golongan fakir miskin kerana cukai baharu itu telah menaikkan harga barangan di pasaran.
Sementara itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengulas sama berkata, GST hanya dikenakan di dua peringkat perbelanjaan rakyat sahaja iaitu tahsiniat (kesempurnaan) dan hajiat (kehendak melebihi keperluan).
"Manakala peringkat ketiga yang tidak dikenakan GST adalah peringkat daruriat (keperluan asas) seperti agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
"Di peringkat ini juga difahami sebagai keperluan asas manusia seperti barangan basah yang dibeli dan dimasak di rumah seperti beras, gula, tepung, ikan dan sayur," katanya.
0 comments:
Post a Comment