Sebagai mengiktiraf peranan media dalam meningkatkan imej negeri ini, syarikat DRB-Hicom menyumbangkan RM45,000 dalam bentuk tajaan bagi menjayakan Anugerah Kewartawanan negeri ini yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Ketua Kumpulan Komunikasinya, Shaik Abbas Ibrahim berkata, peruntukkan itu diberikan kepada Kelab Media Pahang sebagai tanda penghargaan kepada usaha mereka membantu membangunkan negeri ini.
“Kita rasa terpanggil untuk memberi pengiktirafan kepada para wartawan kerana mereka menyajikan pelbagai pengetahuan kepada masyarakat mengenai perkembangan semasa negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Replika Cek kepada Pengerusi Kelab Media Pahang, Nik Naizi Nik Husin di Kemamam Kopitiam, di sini, semalam.
Beliau berkata tajaan ini juga merupakan salah satu cara untuk memajukan profesionalisme wartawan khususnya media cetak yang dilihat masih lagi relevan meskipun wujudnya media portal.
“Saya lihat media cetak masih lagi diterima masyarakat kerana penulisan berita seperti analisis berita dan rencana masih lagi diminati masyarakat walaupun mendapat saingan daripada media portal.
“Ini kerana kebanyakan media cetak bijak menonjolkan kelainan dalam penghasilan bahan berita mereka menyebabkan ia masih diterima rakyat dan disebabkan itu kita bersetuju untuk menaja bagi menjayakan majlis anugerah itu nanti,” katanya.
0 comments:
Post a Comment