Raub - Seiring trend masa, perkhidmatan pesanan makanan melalui laman sosial kini menjadi kegilaan ramai.
Peniaga, Mohd Syukri Addenan, 25, berkata, melalui perkhidmatan tersebut, orang ramai tidak perlu lagi keluar rumah atau pejabat untuk mendapatkan makanan dan pesanan akan sampai kepada pelanggan.
Menurutnya, idea untuk memulakan perniagaan itu tercetus ketika musim hujan yang mana kebanyakan orang tidak mahu keluar rumah untuk ke kedai membeli makanan.
“Secara kebetulan saya terlihat seorang peniaga dari Kuala Lumpur melalui laman Instagram membuat perniagaan makanan atas talian lalu terlintas untuk menyediakan perkhidmatan sedemikian,” katanya.
Mohd Syukri yang turut memiliki perniagaan katering Anac Enterprise memberitahu, dia membuat perkhidmatan penghantaran secara percuma setiap Isnin hingga Khamis.
“Untuk Jumaat pula, ia bergantung kepada permintaan pelanggan dan sekiranya ada, saya akan membuat penghantaran,” katanya.
Menurutnya, setiap hari dia menyediakan menu berbeza dan maklumat akan dimuat naik di laman sosial Facebook Syukri Raub dan kumpulan tertentu seperti Penduduk Raub dan sebagainya.
Antara menu yang disediakan ialah nasi minyak, nasi tomato, nasi beriani, nasi bersama kari ayam, nasi dan ayam goreng halia.
Dia berkata, penghantaran yang dibuat turut disediakan dengan pakej bersama air dan dijual pada harga berpatutan iaitu RM7.
“Sejak saya menyediakan perkhidmatan makanan atas talian dan penghantaran rumah ke rumah, sambutan yang diterima amat menggalakkan.
“Malah ada ketika jualan saya boleh mencecah 100 bekas sehari. Tiada kuantiti tempahan ditetapkan, walaupun hanya untuk satu bekas, saya tetap terima,” katanya.
0 comments:
Post a Comment