Kuantan – Tapir jantan yang dipercayai terjatuh ke dalam longkang ketika mencari makanan di kawasan hutan berdekatan sebuah pusat memandu di Indera Mahkota 15 dekat sini kelmarin kini dirawat di pusat konservasi, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Khairiah Mohd. Shariff berkata, haiwan berkenaan mungkin kelaparan dan sedang mencari makanan dan keluar dari habitat asalnya di kawasan hutan kecil berdekatan.
Menurutnya, ketika tersesat di kawasan padang berdekatan pusat memandu, tapir berkenaan dipercayai terjatuh ke dalam longkang dan menyebabkan kecederaan pada kakinya.
“Anggota bomba menyerahkan tapir itu sebaik sahaja selesai operasi menyelamat dan kini haiwan itu dipantau di pusat konservasi untuk rawatan lanjut sebelum dilepaskan di Rizab Hidupan Krau yang sesuai untuk habitat haiwan ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Selain itu, katanya, antara usaha Perhilitan untuk memelihara spesies terancam itu adalah meletakkan papan tanda amaran di lokasi haiwan itu dilihat sentiasa melintas terutama di laluan lebuh raya Kuantan- Pekan berhampiran hutan kecil di sini.
“Walaupun tapir bukan haiwan yang diburu, tetapi spesies terancam ini sering kali dilihat tersesat ke kawasan yang bukan habitatnya untuk mencari makanan yang berasaskan daun seperti daun senduduk.
“Justeru, saya mengharapkan kerjasama orang ramai untuk berwaspada di kawasan haiwan ini melintas agar haiwan ini boleh terus hidup untuk kesinambungan habitatnya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, enam anggota bomba dan seorang pegawai dari balai bomba Indera Mahkota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.17.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, tapir berkenaan dilihat berada di dalam longkang dalam keadaan lemah.
Katanya, anggota bomba menggunakan tali jentera untuk menyelamatkan tapir yang kelaparan dan anggota terbabit turut memberi minuman dalam usaha membantu binatang itu.
“Tapir itu diserahkan kepada Perhilitan sebaik sahaja operasi selesai kira-kira jam 4 petang,” katanya.
0 comments:
Post a Comment