Sungai Manik - Pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) diingatkan tidak mudah mudah terpengaruh dengan budaya demonstrasi jalanan ketika berada di institusi pengajian tinggi (IPT).
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kesal dengan sikap sebahagian pelatih PLKN yang mudah lupa ketika berada di IPT sedangkan ketika di PLKN mereka begitu berdisiplin dan berakhlak mulia.
Katanya, disiplin dan akhlak mulia diketepikan kerana terpengaruh dengan aktiviti tidak sihat dipelopori siswa yang terlalu emosional.
“Gunakan kebijaksanaan dan fikiran yang waras supaya tidak terikut-ikut dengan gejala kurang beradab kerana terlalu ikut emosi sehingga hilang hala tuju masa depan.
“Negara memerlukan golongan cerdik pandai dalam kalangan anak-anak muda sebagai aset berharga kepada negara di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program gotong-royong bersama 265 peserta PLKN Nilam Ehsan Bidor di Kampung Sungai Batu Parit 12, di sini, kelmarin.
Difahamkan, peserta PLKN menjalankan kerja gotong-royong membersihkan kawasan masjid, surau, sekolah agama rakyat, sekolah dan dewan orang ramai dengan kerjasama penduduk.
Dalam pada itu, Tajuddin berkata, rakyat dan negara bergantung kepada golongan terpelajar sebagai pewaris kepimpinan negara.
Menurutnya, amanah yang menjadi tanggungjawab itu perlu dipelihara dengan baik.
“Kita tidak mungkin boleh jadi seorang akauntan, usahawan atau jurutera yang berjaya sekiranya tidak memiliki ilmu, kemahiran dan pengalaman.
“Saya yakin kita mampu bersaing dengan negara maju sekiranya setiap generasi muda ada wawasan menjadikan diri aset negara," katanya.
0 comments:
Post a Comment