Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 28, 2015

KUALA KRAU: SIREN AMARAN BANJIR DI MASJID


ISMAIL MOHAMED SAID (dua dari kanan) menyaksikan Wan Abdul Wahid


Sebagai persediaan menghadapi musibah banjir pada masa akan datang kerajaan negeri disaran memasang siren amaran di semua menara masjid dan surau yang terletak di kawasan rendah berisiko banjir.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, langkah berkenaan amat signifikan dalam membantu penduduk berhampiran melakukan persediaan awal bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda akibat banjir.

“Saya lihat cara ini amat signifikan kerana selain dapat memperluaskan lagi peranan masjid ia sudah tentu memberi keyakinan kepada penduduk setempat supaya segera berpindah.

“Malah penggunaan menara-menara masjid yang telah tersedia juga menjimatkan kos untuk membina menara-menara baharu di kawasan yang strategik,” katanya dalam sidang akhbar selepas selepas Majlis Bantuan Wang Ihsan Banjir Daripada MUIP di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Menurut Ismail, musibah banjir besar yang melanda daerah ini dan negara baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran seterusnya persediaan rapi perlu dilakukan segera.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai langkah permulaan, pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 15 buah masjid dan surau di Parlimen Kuala Krau bagi memasang siren-siren amaran banjir.

Katanya, pemasangan berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat di masjid dan surau terbabit menggunakan peruntukan Parlimen Kuala Krau.

“Jawatankuasa peringkat daerah telah mengadakan perbincangan dan telah mengemukakan perkara ini kepada pihak kerajaan negeri dan Persekutuan yang kemudiannya akan dirujuk ke Jabatan Agama Islam.

“Kita berharap perkara ini akan diberi perhatian dan dapat diaplikasikan di masjid dan surau dikenal pasti di daerah ini dengan segera sebagai persediaan menghadapi musibah banjir pada masa akan datang,”ujarnya.

Sementara itu, Wan Abdul Wahid berkata, cadangan bagi memasang siren amaran banjir di surau dan masjid itu merupakan langkah yang baik dalam menghadapi bencana banjir.

Ujarnya, pihak MUIP akan memberi sokongan bagi membolehkan siren-siren dipasang di masjid dan surau dikenal pasti di negeri ini dari semasa ke semasa.

0 comments:

share2