Bukan kisah seram yang klise sebaliknya filem Sunti@Facebook memiliki kelainan kerana ia menterjemahkan kegilaan remaja terhadap laman sosial yang akhirnya membawa akibat buruk jika teknologi itu disalahgunakan.
Filem arahan James Lee ini juga mempertaruhkan barisan pelakon muda berbakat besar seperti Fouziah Gous sebagai Sunti Lara, Izzue Islam (Asyiq), Lufya Omar (Jiji) dan Syazwan Zulkifli (Adan).
Selain itu, filem ini turut dibantu barisan pelakon termasuk dari Indonesia iaitu Jenny Cotez (Vida), Anas Mentor (Gel), Diddy Hirdy (Py), Arief Farhan (Mie), Mizy Radzuan (Lan) dan Wana Ariana (Alisya).
Secara peribadi Fouziah yang pernah berlakon filem seram seperti Skrip 707, Rasuk dan Rasukan Ablasa mengakui dia menerima tawaran berlakon filem itu kerana tertarik dengan jalan ceritanya.
“Saya sering berlakon dalam cerita hantu, tetapi filem ini ada kelainan dari segi jalan ceritanya. Pada masa sama, saya juga sudah lama ingin bekerja dengan pengarah yang hebat seperti James yang dikenali menerusi filem Histeria sebelum ini.
“Watak saya Sunti Lara juga mencabar kerana dia bukan saja gadis kampung yang lemah lembut dan pemalu, tetapi berubah menjadi penggoda serta ganas kerana ingin membalas dendam selepas dirogol.
“Malah, pada mulanya, saya sendiri tertanya-tanya sama ada Sunti Lara masih hidup atau sudah mati ketika dia membalas dendam dalam cerita ini,” katanya.
Bercerita babak mencabar pula, kata Fouziah, antaranya ialah ketika dia menjayakan babak Sunti Lara tergantung dalam filem berkenaan.
“Bagi menjayakan babak itu, saya juga digantung di siling dengan hanya tali halus di pinggang selama sehari. Gara-gara buat babak itu saya juga mendapat sakit pinggang.
“Selain itu, saya juga berasa bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini ketika menjayakan babak Sunti Lara perlu berdiri dekat dengan kereta yang baru saja meletup dan terbakar dalam filem itu,” katanya.
Izzue dicabar babak menangis
Watak remaja ‘playboy’ yang nakal, Asyiq dalam filem Sunti@Facebook turut memberi cabaran tersendiri kepada pelakon dan anggota kumpulan Forteen, Izzue Islam.
“Saya terima tawaran berlakon dalam filem ini kerana ingin mencuba bakat beraksi dalam genre seram pula. Sebelum ini, saya pernah berlakon dalam cerita seram, tetapi watak ‘cameo’ saja.
“Selain tertarik dengan skripnya yang kuat, saya juga ingin menimba pengalaman bekerja dengan pengarah ktreatif seperti James,” katanya.
Izzue berkata, dia juga tidak ada masalah untuk mendapat keserasian bergandingan dengan barisan pelakon lain seperti Fouziah, Lufya mahupun Syazwan dalam filem itu.
“Dari segi babak mencabar pula, saya perlu jiwai babak sedih dan menangis ketika Asyiq bertemu semula Sunti Lara dan menyesali dirinya yang gagal mempertahankan gadis itu daripada dirogol rakan-rakannya,” katanya.
Syazwan menyerlah dengan watak hitam
Pelakon yang sinonim dengan watak antagonis, Syazwan mengakui dia tidak ada masalah menjiwai watak Adan, remaja kaya yang nakal dalam filem itu.
“Apa yang mencabar, saya perlu memastikan watak hitam dilakonkan tidak klise dari sebelum ini kerana watak Adan lebih cenderung kepada keganasan menerusi medium Facebook.
“Cabaran lain ialah kami tidak terikat dengan skrip dan perlu memahami jalan cerita dengan sebaik mungkin untuk menjiwai watak masing-masing,” katanya.
Apapun, pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Juvana ini mengakui dia juga selesa bekerjasama dengan barisan pelakon muda yang ditampilkan dalam filem itu.
“Penggambaran filem ini berlangsung kira-kira dua tahun lalu dan rata-rata pelakon masih baru berjinak-jinak di layar perak ketika itu. Namun, James, selaku pengarah banyak memberi bimbingan kepada barisan pelakon di lokasi,” katanya.
Secara keseluruhannya, filem Sunti@Facebook dijangka memenuhi cita rasa penggemar genre seram yang inginkan kelainan dan bahan hiburan. Selain sarat dengan elemen seram dan kejutan, filem ini turut menyelitkan babak sedih dan komedi untuk mewarnai filem ini.
Sinopsis
Sunti@Facebook menceritakan mengenai Ashiq, remaja ‘playboy’ yang nakal dan dilahirkan dalam keluarga berada memberikannya kelebihan daripada segala segi. Dia suka bertukar pasangan ‘online’ dan dibantu tiga lagi rakannya iaitu Py, Adan dan Gel.
Saban hari tugas mereka adalah memancing ramai gadis melalui laman Facebook. Setiap pertemuan berjalan dengan baik walaupun ada beberapa gadis yang kecewa kerana mereka memutuskan hubungan selepas keluar beberapa kali.
Pada suatu hari kolej tempat Ashiq dan kawan-kawannya belajar menjadi gempar apabila berlaku kejadian pembunuhan tanpa diketahui puncanya.
Semua yang mati seolah diganggu roh yang hidup dalam rangkaian sosial Facebook. Kejadian misteri itu meninggalkan kesan mendalam kepada Ashiq dan rakan-rakannya.
Apakah puncanya dan siapakah Sunti Lara yang menjadi rakan Facebook mereka? Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem terbitan Nusantara Seni Karya ini yang mula menjengah pawagam seluruh tanah air pada 26 Februari nanti.
0 comments:
Post a Comment