Radin Malleh bersama jemputan memotong kek dalam majis
rumah terbuka Krismas 2014 dan Tahun Baru 2015 di Tenom
TENOM – Rakyat yang cintakan keamanan dan mahu keharmonian negara terus berkekalan wajar menolak pengaruh segelintir pihak yang sengaja menyebarkan isu-isu perkauman melalui media sosial.
Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Radin Malleh yang menyelar tindakan sesetengah individu kerana menimbulkan kecelaruan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat siasatan terperinci dan mendakwa pihak terbabit yang menyebarkan isu perkauman dan keagamaan melalui media sosial.
“Perbuatan itu mengakibatkan keresahan di kalangan rakyat berbilang kaum serta bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Rukunegara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini semasa menghadiri rumah terbuka Krismas 2014 dan Tahun Baru 2015 anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Melalap di Kampung Makakumpai, Tenom.
Beliau yang juga Naib Presiden PBS mahu rakyat tanpa mengira fahaman politik dan agama menyokong usaha kerajaan untuk menangani masalah rakyat akibat bencana alam seperti banjir yang sedang melanda negara pada masa ini.
“Saya berharap kejadian bencana alam seperti banjir yang melanda negara kita pada masa ini tidak akan menggugat keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan untuk membantu rakyat,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment