Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 24, 2017

[BERA] MENGAJI BUKAN BERMUSIM


Mengaji bukan bermusim


Amalan membaca al-Quran sepanjang Ramadan seolah-olah satu budaya dalam kalangan umat Islam untuk mengejar pahala beramal pada bulan mulia itu namun sebenarnya kitab suci itu perlu dibaca sepanjang masa bukannya bermusim.

Pengerusi Rumah Ngaji Bera, Mohd Zaid Tumiran berkata, membaca al-Quran di bulan Ramadan sememangnya digalakkan tetapi adalah lebih afdal sekiranya membaca kitab suci itu setiap hari walaupun sebaris ayat.

“Dulu, kita sekadar baca al-Quran dan khatam. Cara itu tidak betul. Kita kena baca, faham apa yang kita baca, dan amal apa yang kita faham.

“Ramai yang tahu membaca al-Quran tetapi tidak ramai yang faham maksudnya. Jadi, menerusi Rumah Ngaji ini, saya mahu mengajak lebih ramai untuk mengenali al-Quran,” katanya selepas Majlis Pelancaran Rumah Ngaji @ Bera di Taman Angsana Jaya di sini yang disempurnakan Panel Penasihat Rumah Ngaji Malaysia, Shamsul Mohd Nor.

Lebih 100 peserta mendaftar bagi mengikuti kelas anjuran Rumah Ngaji itu semalam, yang bakal memulakan kelasnya pada Oktober nanti.

Katanya, penubuhan Rumah Ngaji ini cenderung untuk membantu masyarakat untuk terus mempelajari al-Quran, dan memastikan ia bukan budaya bermusim.

Mohd Zaid memberitahu, kesudian pemilik rumah untuk mewakafkan kediamannya untuk dijadikan Rumah Ngaji seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin masyarakat.

“Kelas dibuka kepada semua peringkat umur tanpa sebarang bayaran. Buat masa ini, kita memfokuskan peserta yang tahu membaca tapi tidak memahami al-Quran. InsyaALLAH, kelas akan ditambah bergantung sambutan masyarakat. Arwah ayah saya pernah memberitahu, kalau tak dapat semua yang dipelajari, jangan pula ditinggalkan semua. Sebab itu, Rumah Ngaji ini ditubuhkan untuk membantu mereka yang memerlukan bagi menambah pengetahuan ilmu mengenai al-Quran,” kata beliau.

Tambahnya, hasrat penubuhan Rumah Ngaji di daerah ini cetusan ideanya sendiri selepas hadir beberapa kelas anjuran Rumah Ngaji Malaysia sejak dari tahun lalu.


0 comments:

share2