Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 24, 2017

[MARAN] SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN SK ULU JEMPOL, GAMAT



Sambutan Bulan Kemerdekaan SK Ulu Jempol, gamat


Sambutan majlis penghayatan bulan kemerdekaan peringkat Sekolah Kebangsaan Ulu Jempol berlangsung penuh kemeriahan dengan penglibatan pelbagai pihak dan komuniti Felda tersebut, semalam.

Ia turut disertai oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Pejabat Felda, Seranta Felda serta ibu bapa pelajar.

Guru Besarnya, Yasin Maarof berkata, program ini bukan sahaja untuk menzahirkan rasa bangga dan cinta kepada tanah air dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan laungan merdeka tetapi lebih kepada untuk memahami, menghayati dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

"Pertandingan menghias basikal, pertandingan mewarna serta pakaian beragam turut diadakan yang disertai oleh ramai pelajar. Sambutan turut digamatkan dengan pertandingan pakaian yang menepati tema hari kebangsaan dari kalangan guru-guru.

"Diharapkan dengan penetapan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan 2017 mampu memberi kefahaman kepada murid-murid betapa pentingnya rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, saling memahami dan hormat menghormati serta bersatu padu untuk menentukan masa depan negara agar lebih gemilang, stabil dan aman damai," katanya.




Majlis tersebut dirasmikan Ketua Pegawai Pendidikian Daerah Maran, Ahmad Nahran Ishak dengan melepaskan perarakan basikal berhias yang mengelilingi kampung Felda Ulu Jempol dan turut disertai oleh jawatankuasa PIBG, komuniti dan ibu bapa.

Ahmad Nahran turut berpesan kepada seluruh murid sekolah kebangsaan Ulu Jempol agar meneruskan perjuangan yang telah dilakukan oleh tokoh-tokoh yang lalu.

"Prinsip dan matlamat yang sama tetapi kaedah yang berbeza. Murid-murid perlu berjuang dengan ilmu agar bangsa asing tidak menjadi ‘bos’ di bumi kita," katanya.

Majlis turut diselitkan dengan pengkisahan kemerdekaan oleh tokoh veteren Felda Ulu Jempol itu sendiri, Jazam Lusa yang berpendapat bahawa budaya mengenakan hukuman rotan ke atas anak-anak oleh ibu bapa dahulu amat berkesan dalam menyedarkan anak-anak tentang kesilapan diri.

Di samping itu katanya, hukuman rotan oleh ibu bapa juga mampu menerap nilai-nilai semangat, jati diri dan mampu memanusiakan anak-anak di masa hadapan.

Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan tarian kebudayaan oleh kumpulan seni tari warisan zaman sekolah kebangsaan Ulu Jempol serta nyanyian beramai-ramai lagu-lagu patriotik bagi menaikkan semangat cintakan negara.


0 comments:

share2