Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 6, 2015

REDA RUMAH MUSNAH DIBAWA ARUS


Jamilah terima ujian ALLAH SWT dengan reda dan berharap ada hikmah di sebaliknya.


Temangan - Hilang dalam sekelip mata. Enam sekeluarga di sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dibawa arus deras akibat kejadian banjir besar minggu lalu.

Ibu tunggal, Jamilah Ridzuan berkata, arus deras memusnahkan semua bahagian rumahnya yang terletak berhampiran Sungai Kelantan itu pada Selasa lalu.

“Air sangat deras dan naik mendadak, kami sekeluarga segera menyelamatkan diri memandangkan cucu-cucu masih kecil dan kami bimbangkan keselamatan mereka.

“Beberapa hari selepas itu, ramai penduduk ajak saya untuk melihat rumah, namun saya menolak kerana saya dapat bayangkan apa yang terjadi kepada rumah kami.

“Banjir adalah perkara biasa kepada kami namun kali ini keadaannya luar biasa dan menakutkan,” katanya.

Jamilah turut menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang turut turun padang ke Temangan dan Kerilla dekat sini, bagi menyampaikan bantuan banjir kepada lebih 1,000 mangsa di sini.

Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno turut diiringi Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pemuda Umno Machang, Eriandi Datuk Ismail.

Jamilah berkata, dengan pendapatan sebagai pekerja di kantin sekolah berdekatan, dia tidak mampu membina rumah dalam masa terdekat apatah lagi anaknya yang tinggal bersama juga mengalami masalah kesihatan dan tidak ada pekerjaan tetap.

Katanya, buat sementara waktu, mereka sekeluarga akan tinggal di gerai makan miliknya yang terletak di hadapan rumah bersama anak dan cucu.

Tambahnya, gerai itu tidak lagi digunakan dan sebahagian bumbungnya tercabut akibat banjir itu namun mereka akan membaikinya sebagai tempat berteduh untuk sementara waktu.

“Buat masa sekarang saya masih tinggal di pusat pemindahan kerana saya sekeluarga tiada tempat untuk dituju namun selepas gerai itu dibersihkan, saya akan balik ke rumah.

“Tiada kata yang mampu saya luahkan bagi menggambarkan kesedihan kami sekeluarga namun saya terima ujian ALLAH ini dengan reda dan berharap ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Jamilah berkata, keadaan air Sungai Kelantan yang naik mendadak sejak Selasa lalu jauh berbeza dengan banjir sebelum ini.

Katanya, dia hanya sempat mengemas pakaian dan kelengkapan rumah seperti biasa namun apa yang terjadi sebaliknya apabila segala-segalanya hilang dibawa arus.

0 comments:

share2