Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 6, 2015

KAMPUNG KERAP DILANDA BANJIR KILAT


Muhammad Ikhwan Muhammad Yaman, 10, membantu jirannya membersihkan rumah yang terjejas akibat banjir kilat.


Batu Gajah – Pihak berwajib diminta segera mengatasi masalah banjir kilat yang kerap melanda setiap kali hujan lebat di Kampung Piandang dekat Siputeh di sini.

Seorang penduduk, Zaidi Jenal, 45, berkata, penduduk mahu perancangan berkesan dan menyeluruh dirangka bagi menyelesaikan masalah itu di samping menyegerakan projek tebatan banjir.

“Masalah banjir kilat ini bukan isu baharu tetapi setiap kali musim tengkujuh dan hujan lebat, rumah-rumah di kawasan rendah di kampung ini pasti akan dinaiki air akibat limpahan anak sungai.

“Banjir ini dipercayai berpunca daripada aliran air di Sungai Bakong yang tidak lancar dan tersekat berhampiran beberapa buah rumah penduduk hingga air bertakung di situ,” katanya kepada yang ditemui ketika sedang membersihkan rumahnya selepas banjir surut semalam.

Kelmarin, lebih 32 mangsa banjir di kampung berkenaan terpaksa dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Piandang selepas kampung terbabit dilanda banjir kilat setinggi kira-kira satu meter.

Pusat pemindahan tersebut dibuka pada kira-kira jam 8 malam kelmarin selepas hujan lebat yang bermula pada jam 4 petang menyebabkan air naik kira-kira jam 6 petang.

Bagaimanapun, kesemua mangsa sudah dibenarkan pulang pagi semalam apabila air mula surut.

Seorang lagi penduduk, Siti Haminah Jalil, 42, berkata, penduduk yang terjejas berharap langkah segera seperti menggantikan pembetung sedia ada diambil.

“Saya berpendapat jika pebentung itu digantikan dengan jambatan, aliran Sungai Bakong akan lancar dan aliran air tidak boleh naik mendadak.

“Memang pihak berwajib ada besarkan sungai, tetapi kalau salurannya sempit, ia tidak mampu tampung kapasiti air yang mengalir keluar daripada kawasan ini dan itulah sebabnya jadi banjir macam ini,” katanya.

0 comments:

share2