RENTETAN teguran melampau sesetengah pihak apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkunjung ke Batu Caves semasa meraikan Thaipusam memberikan satu tafsiran bahawa orang Islam tidak digalakkan meraikan sebarang bentuk perayaan agama bukan Islam, walaupun kunjungan itu bersifat muhibah dan menghormati resam kehidupan bermasyarakat.
Ada pendapat menyifatkan kunjungan itu menghampiri perbuatan syirik, kerana menghampiri atau cuba memahami perayaan agama bukan Islam. Rakyat yang mudah percaya terus percaya dengan pelabelan itu, kerana ia dikeluarkan oleh seorang yang mengetahui lebih dalam mengenai agama.
Itu berlaku kepada Perdana Menteri. Bagaimana pula pandangan masyarakat dan orang yang sama mengkritik kunjungan tersebut apabila mengimbas semula beberapa sejarah yang pernah dicipta oleh seorang ulamak parti pembangkang apabila turut sama di majlis pembukaan sebuah 'kompleks ibadat' bukan Islam di dalam persekitaran masyarakat Melayu.
Pemimpin ulamak itu bukan sekadar hadir, bahkan berucap dengan memberikan pandangan bahawa tidak salah tindakan itu kerana Islam adalah sebuah agama yang mengamalkan toleransi dan tidak menjadi suatu kesalahan jika kita memasukinya asalkan tidak terikut-ikut dengan agama mereka. Itu berlaku beberapa tahun lalu apabila Mursyidul Am Pas, mengunjungi rumah ibadat masyarakat keturunan Siam di Gong Balai, Bacuk, Kelantan.
Semasa kunjungan itu, patung Buddha berdiri baharu siap dibina dan ketinggiannya melebihi bangunan dua tingkat. Tidak kedengaran para kadi, mufti dan mereka yang boleh dipanggil ulamak berani berkomentar, kerana yang nak ditegur itu bukanlah seseorang yang tidak mengetahui hukum agama secara mendalam.
Jika mengambil perbandingan daripada dua peristiwa itu jelaslah komentar dan pandangan terbaharu yang dikeluarkan mempunyai unsur politik, bagi membuktikan keulamakannya menjadi popular dengan teguran tersebut. Seharusnya, mereka yang berkomentar itu boleh membuat penilaian secara lebih menyeluruh, bahkan ketika Nabi Muhammad SAW berada di Madinah baginda tidak pernah mengharamkan sebarang kunjungan orang Islam ke sinagog Yahudi ataupun tempat-tempat ibadat penganut agama lain.
Al-Quran dengan jelas memberikan penegasan bahawa: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang- orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat (memberi wala') orang- orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta mengusir kamu.
Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." Surah Al-Muntahanah ayat 8-9.
Di sini bermaksud membuat kebaikan kepada orang yang bukan Islam seperti menghadiri jemputan mereka atau mengunjungi ke tempat perayaan agama mereka serta melawat rumah ibadah mereka seperti gereja, kuil dan sebagainya tanpa melakukan upacara ibadah mereka adalah termasuk dalam pengertian berbuat baik kepada mereka apatah lagi sekiranya seseorang itu sebagai pemimpin kepada rakyat.
Salah faham mengenai kunjungan muhibah yang cuba disama ertikan dengan kunjungan ritual seperti dilakukan oleh penganut Hindu dengan tujuan memohon restu Dewa Subramaniam adalah sesuatu yang bercanggah dengan hakikat Islam itu sendiri. Ini kerana, Islam meletakkan peraturan bahawa menghormati agama lain selain Islam tidak akan menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agamanya.
Terkeluarnya seseorang itu daripada pegangan Islam adalah apabila menyekutukan ke Esaan Allah SWT. Ini bererti jika kunjungan muhibah itu hanyalah sekadar kunjungan hormat tanpa mempunyai niat mengamalkan gerakan ritual yang sedang berjalan, ia adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap syirik.
Bahkan, Dr. Taha Jabir al-Alwani menjelaskan, "kita melihat bagaimana kelompok yang dikenal dengan Islam politik mengertikan Islam dan syariat Islam secara sempit, sebagai sistem hukuman. Kita mendapati sebahagian besar dari mereka yang meneriakkan jargon-jargon "penerapan syariat", dan yang mereka maksudkan dengan syariat itu adalah bentuk hukuman.
"Kita juga melihat sebahagian pemerintahan Islam berlumba-lumba menerapkan beberapa bentuk hukuman syariat untuk membuktikan kesungguhan mereka dalam beragama dan menjalankan syariat-yang terkadang diertikan secara sempit sebagai bentuk hukuman. Meneriakkan jargon-jargon itu ... termasuk sarana paling berkesan untuk menipu umat.
"Mengertikan secara sempit "ayat-ayat yang melarang orang untuk melampaui batas-batas (hudud) Allah" sebagai bentuk-bentuk hukuman yang ditentukan Allah merupakan cara paling mudah untuk menarik dokongan majoriti mukmin dan mendorong mereka menentang pemerintahan yang ingin digulingkan." (Taha Jabir al-Awani, Tiada Paksaan Dalam Agama, 2008:29)
Pola masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum, kedudukan agama selain Islam diberikan kebebasan untuk berkembang manakala setiap orang diwajibkan menghormati keyakinan yang berbeza itu. Dalam perbezaan itulah Allah SWT meminta setiap manusia supaya saling kenal mengenali, dan untuk kenal mengenali adalah dengan bergaul mesra.
Pergaulan itulah membentuk persefahaman, maka prinsip itu juga mula diamalkan oleh parti pembangkang apabila melenturkan sebahagian fatwanya sendiri yang menganggap bukan Islam itu sebagai "berkawan dengan kafir."
Sebagai sebuah negara yang mementingkan kesejahteraan hidup bersama, agenda pembangunan masyarakat, kerukunan hidup merupakan fardu kifayah yang wajib diberikan keutamaan oleh seseorang pemimpin. Prinsip hidup secara bermuamalah itulah yang boleh menjamin agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Dalam prinsip pengurusan masyarakat pelbagai kaum, adalah menjadi kewajipan seseorang pemimpin itu untuk memahami dan membantu kaum lain kerana ia dikutip daripada prinsip kebertanggungjawapan. Kunjungan muhibah Perdana Menteri itu adalah bukti bahawa dengan memberikan sokongan moral ia akan membangkitkan semangat untuk terus hidup sebagai sebuah masyarakat yang aman dan harmoni.
Bukan Islam juga merupakan rakyat dan sebahagian daripada entiti negara yang wajib dihormati selagi mereka boleh menghormati prinsip yang dipersetujui bersama yang dikenali sebagai Rukun Negara. Asas yang ingin dibentuk menerusi Rukun Negara ialah masyarakat yang bersatu padu dan kemudiannya dikembangkan semula menerusi gagasan 1Malaysia.
Dalam Islam, prinsip toleransi yang dimulai oleh teladan Rasullullah SAW dan dihangatkan kembali semasa perayaan Maulidur Rasul beberapa hari lalu melambangkan betapa segarnya nafas kehidupan bermasyarakat yang dibentuk menerusi legasi Madinah.
Ketika berhijrah ke Madinah, Rasullullah SAW tidak memerintahkan semua pemeluk agama lain meninggalkan agamanya secara kekerasan.
Bagi mereka yang ingin kekal dengan agama asalnya, mereka dibenarkan melakukan ritual masing-masing dengan syarat terus menghormati Islam. Prinsip kebebasan sedemikianlah yang diamalkan di Malaysia, di mana rumah-rumah ibadat diberikan kelulusan pembinaannya manakala penganutnya bebas mengamalkan kepercayaan yang diwarisinya.
Melakukan kebaikan kepada orang yang bukan Islam seperti menghadiri jemputan mereka atau mengunjungi ke tempat perayaan agama mereka serta melawat rumah ibadah seperti gereja, kuil dan sebagainya tanpa ikut melakukan upacara ibadah mereka adalah termasuk dalam pengertian berbuat baik dan menghormati kepercayaan beragama.
Seseorang pemimpin berusaha memenuhi tanggungjawabnya, termasuk undangan ke majlis-majlis tertentu sama ada berbentuk kebudayaan.
Malah dalam ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW, bukan Islam turut diberikan penghargaan sebagai tokoh Maulidur Rasul kerana menyumbang keringat dalam pembangunan kehidupan bermasyarakat dan negara.
Kalau Nabi Muhammad SAW boleh menyuapkan makanan saban hari kepada seorang lelaki buta Yahudi, walaupun lelaki itu sentiasa membenci baginda, maka tidak ada sebab yang jelas kita boleh menghukum hadir dalam majlis keagamaan masyarakat bukan Islam itu sebagai bertentangan dengan Islam.
saling ingat memperingati sesama kita itu dituntut olih agama,ianya termasuk dalam perkara berbuat kebajikan.