Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 16, 2012

Dimana Keberanian Majlis Syura


APABILA Majlis Syura Ulama Pas memberi kata dua kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada menarik balik kenyataannya terhadap sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel atau menyaman The Wall Street Journal ia mencetuskan dua persoalan.

Persoalan pertama, apakah benar ia melambangkan keberanian Majlis Syura Ulama Pas dan kedua, sejauh manakah Anwar serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri akan patuh kepada kehendak Pas?

Selama ini Majlis Syura Ulama Pas dilihat seolah-olah tidak bermaya, apabila hanya mendiamkan diri terhadap pelbagai isu yang melumuri parti itu berikutan kerjasama dengan PKR dan DAP.

Tetapi apabila majlis berkenaan mula bersuara apatah lagi terhadap tindak-tanduk Anwar maka ia disambut dengan perasaan lega dan gembira oleh penyokong-penyokong Pas.

Penulis yang menghubungi beberapa rakan dalam parti itu mendapati, mereka menyokong penuh keputusan badan tertinggi Pas tersebut.

''Kami berharap ini sebagai satu permulaan ke arah mengembalikan Pas ke landasan perjuangan sebenar yang berteraskan kepada perjuangan Islam.

''Keputusan Majlis Syura Ulama Pas ini membuktikan mereka boleh benar-benar menjadi badan pemantau kepada perjalanan politik parti,'' kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.

Bagaimanapun isu memberi kata dua ini hanyalah satu permulaan dan dianggap tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kepada kelantangan dan ketegasan Majlis Syura Ulama. Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan oleh majlis itu jika mereka mahu mendabik dada kononnya mereka bukanlah pak turut dan tidak akan berkompromi dalam soal-soal menegakkan perjuangan Islam.

Jika benar Majlis Syura Ulama mempunyai keberanian dan kewibawaan tersendiri maka mereka perlu menunjukkan kebangkitan suara ulama dengan mengkaji semula segala tindak-tanduk Pas yang sebelum ini dilihat meninggalkan landasan perjuangan asalnya.

Perkara paling utama ialah Majlis Syura Ulama perlu mendesak Pas mengkaji semula hubungan dengan PKR dan DAP. Ia memandangkan imej, kredibiliti dan kewibawaan Pas sebagai parti Islam sudah banyak terjejas dan mungkin juga telah rosak akibat kerjasama yang berteraskan kepada matlamat memburu kuasa semata-mata.

Jika Majlis Syura Ulama mengatakan mereka masih berpegang teguh kepada perkara-perkara berkaitan perjuangan Islam dan tidak akan berkompromi dalam soal itu maka mereka juga perlu mendesak Pas kembali kepada perjuangan asal iaitu menegakkan sebuah negara Islam. Langkah itu perlu dilakukan kerana semua orang tahu bagaimana sejak bergabung dalam pakatan pembangkang, Pas dilihat mempertaruh dan 'menggadaikan' segala-galanya demi impian ke Putrajaya.

Ketika ini orang tertanya-tanya apakah peranan Majlis Syura Ulama yang kononnya dalam Perlembagaan Pas diletakkan badan tertinggi yang akan membuat keputusan berhubung perjalanan parti. Begitu juga ulama-ulama Pas, kenapakah mereka berdiam diri apabila kepimpinan parti itu sanggup menggugurkan perjuangan negara Islam. Apakah golongan ulama yang berada dalam Pas hanya sekadar ahli sahaja dan dikumpulkan beramai-ramai dalam Dewan Ulama seperti sebuah kelab untuk pesara-pesara?

Mungkin apa yang dikatakan oleh penulis ini dilihat keterlaluan tetapi inilah sebahagian pandangan umat Islam terhadap ulama-ulama dalam Pas.

Mereka melihat biar pun Pas adalah sebuah parti Islam dan turut dianggotai oleh ulama-ulama tetapi golongan itu seolah-olah tidak berfungsi bukan sahaja untuk kesejahteraan ahli-ahli parti itu tetapi juga umat Islam secara keseluruhan.

Justeru apabila Majlis Syura Ulama Pas mula bersuara maka ini sudah tentulah menarik kerana badan itu boleh memperbetulkan segala kesilapan politik yang dilakukan oleh Pas dalam kerjasamanya dengan PKR dan DAP.

Sudah sampai masanya Majlis Syura Ulama Pas menjadi badan penentu kepada politik Pas. Parti itu tidak boleh lagi bergantung kepada sikap sesetengah pemimpin Pas yang membuat keputusan berlandaskan kepada hujah dan motif semata-mata. Pas adalah sebuah parti Islam kedua terbesar di Malaysia dan jauh lebih berwibawa serta berkemampuan berbanding PKR dan DAP, oleh itu tak kanlah Majlis Syura Ulama akan terus membiarkan parti itu menjadi pak turut sahaja dalam pakatan pembangkang. Ia belum lagi mengambil kira bagaimana Pas seolah-olah tidak mampu berkata apa-apa terhadap sebarang tindak-tanduk PKR dan DAP di negeri-negeri yang diperintah secara bersama terutama di Selangor dan Pulau Pinang.

Oleh itu ketegasan Majlis Syura Ulama tidak harus kerana isu Israel sahaja memandangkan selama ini PKR, DAP dan Anwar sendiri sudah banyak menyusahkan Pas. Majlis Syura itu bertanggungjawab untuk membuktikan kepada penyokong Pas bahawa majlis tersebut masih berkuasa dan bukannya dianggap seperti hidup segan mati tak mahu.

Kalau Majlis Syura benar-benar ikhlas dan jujur untuk melihat Pas kembali kepada perjuangan asal serta meletakkan kembali parti tersebut sebagai parti Islam maka mereka perlu menunjukkan kuasa sebenar mereka.

Majlis tersebut tidak boleh membiarkan Pas terus dikawal oleh kelompok-kelompok tertentu di dalam parti itu yang ada sesetengah lebih 'berkiblat' Anwar berbanding ulama dan kepimpinan Pas sendiri.

Sindrom terlalu yakin kepada Anwar dan percaya bahawa kerjasama dengan PKR dan DAP menguntungkan Pas yang menguasai sebahagian pemimpin serta penyokong parti itu perlu dihapuskan oleh Majlis Syura Ulama.

Ia kerana penyokong-penyokong Pas perlu diyakinkan bahawa dari segi kewibawaan, kemampuan malahan moral, sebahagian besar pemimpin Pas terutamanya daripada golongan ulama jauh lebih baik berbanding sesetengah pemimpin kanan PKR dan DAP. Jika selepas ini Majlis Syura Ulama kembali kepada apa yang dianggap 'sindrom bisu', maka mereka bertanggungjawab seandainya Pas bukan sahaja akan dicaci tetapi juga kehilangan sokongan di kalangan umat Islam.

Mengenai persoalan kedua iaitu sama ada ada Anwar akan patuh kepada kehendak Majlis Syura Ulama atau tidak, ramai yang percaya bahawa beliau dan PKR tidak akan tunduk kepada kata dua Pas itu.

Jika itu berlaku, Pas tidak boleh menyalahkan Anwar atau PKR kerana selama ini Pas yang bertanggungjawab 'memberi muka' kepada PKR untuk memperkotak-katik parti itu. Semua orang tahu bagaimana demi mengejar kuasa politik atas matlamat menawan Putrajaya dan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang, Pas rela membiarkan PKR dan DAP melakukan apa sahaja. Atas sebab itulah, jika Anwar berdegil dan masih mahu mempertahankan pendiriannya dalam isu Israel maka ia akan menjadi ujian terbesar kepada Pas sama ada hendak terus kekal dalam pakatan pembangkang atau sebaliknya.

Ketika inilah keberanian Majlis Syura Ulama akan diuji sama ada menarik Pas keluar daripada pakatan pembangkang dan dianggap mengkhianati perjuangan politik pakatan itu atau akan dituduh bersubahat dengan Anwar mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan umat Islam kerana dianggap menyokong keselamatan negara Israel.

Segala-galanya terserah kepada Majlis Syura Ulama untuk menentukannya.

0 comments:

share2