Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 6, 2015

JANGAN CETUS PERSEPSI NEGATIF DALAM ISU BANJIR


Banjir


Shah Alam – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diingatkan agar tidak mencetuskan persepsi negatif terhadap Kerajaan Persekutuan yang berusaha membantu mangsa banjir di beberapa negeri yang dilanda bencana itu sejak Disember tahun lalu.

Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong menegaskan kerajaan pusat tidak pernah mengutamakan kepentingan politik dan membeza-bezakan bantuan mengikut kaum dan agama apabila berlakunya sesuatu bencana di negara ini. 

“Selama ini apabila kita mulakan kerja kita untuk menolong mangsa banjir, kita tidak pernah melihat negeri itu sebagai negeri pembangkang.

“Kenyataan politik dia (Hadi) cuma mahu memberikan persepsi bahawa kerajaan tidak menitikberatkan (kebajikan) mangsa di negeri tertentu dan kerajaan tidak bersiap sedia untuk menolong semua (mangsa banjir). Itu merupakan satu buruk sangka,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap kenyataan pemimpin tertinggi Pas itu semalam, yang menyeru seluruh masyarakat menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir tanpa membezakan warna kulit, kaum, agama dan ideologi politik.

Mengulas lanjut, Chua berkata lagi, kerajaan negeri Kelantan dikatakan tidak bersiap sedia bagi menghadapi bencana banjir yang terburuk dalam sejarah itu sedangkan negeri di Pantai Timur itu saban tahun menerima taburan hujan yang tinggi.

“Kalau kita bandingkan Terengganu, Kelantan tidak bersiap sedia (banjir) seperti kerajaan negeri Terengganu.

“Saya melihat dari segi kesiapsediaan kerajaan negeri Kelantan seharusnya mengetahui bahawa banjir sesuatu yang kerap dihadapi,” ujarnya.

Sehubungan itu Chua menasihatkan kerajaan negeri Kelantan mengambil langkah segera untuk membantu mangsa banjir supaya dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

“Kerajaan negeri boleh memainkan peranan penting khususnya untuk memastikan sumber air diperolehi untuk kerja-kerja pembersihan pada masa sekarang,” katanya lagi.

0 comments:

share2