Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 6, 2015

PENTINGNYA PERLINDUNGAN INSURANS HADAPI BANJIR


Wan Saiful Wan Jan



Shah Alam- Kesedaran terhadap kepentingan perlindungan insurans masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia meskipun ia sangat penting terutama sekali bagi kawasan-kawasan berisiko tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berkata, sikap sambil lewa masyarakat itu perlu diubah dan mengambil pengajaran ekoran bencana banjir yang melanda negara.

"Saya rasa sekarang ini nampak sangat bahawa perlindungan insurans sesuatu yang amat penting sebenarnya. Budaya masyarakat kita sebenarnya memandang sambil lewa soal perlindungan insurans. Tak ramai yang ambil insurans.

"Ini satu sikap yang perlu diubah dan bencana alam yang dihadapi saat ini merupakan satu pengajaran buat kita juga bahawa perlindungan insurans itu memang penting," katanya kepada Sinar Harian Online.

Ketika diminta mengulas soal perbelanjaan yang perlu dielakkan mangsa banjir, beliau mengingatkan agar sebarang pembelian di luar keperluan asasi perlulah dielakkan.

“Benda-benda yang terkeluar daripada keperluan asasi kita terutamanya yang terjejas dengan banjir, bagi saya perkara itu perlu dihentikan," katanya.

Sementara itu, beliau menjangkakan ekonomi Malaysia bakal berdepan situasi lebih mencabar pada tahun 2015 ini susulan tragedi bencana banjir yang melanda negara ini.

"Saya rasa keadaan ini mencabar bagi 2015 dan bencana alam yang dihadapi ini menyebabkan situasi mungkin lebih mencabar. Sebab dalam perbelanjaan belanjawan yang diluluskan untuk 2015, kita tidak menjangka akan berlaku bencana alam yang sebegini teruk dalam negara. Kita juga tidak dapat menjangka berapa kos sebenar untuk membaiki segala yang rosak.

"Saya jangkakan, keadaan akan menjadi amat mencabar, tambah pula dengan keadaan negara...belanjawan kita defisit sejak sekian lama dan kadar simpanan di pihak kerajaan untuk masa kecemasan juga tidak dapat dipastikan sama ada kerajaan menabung dengan cukup atau tidak,” katanya.

0 comments:

share2